Petra Jaya masih bebas Rabies, abaikan tular palsu — Sekretariat

0
4

KUCHING: Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri mengesahkan bahawa laporan yang disebarkan melalui aplikasi Whatapps kononnya Masjid Darul Abidin, Jalan Astana telah mengumumkan kenyataan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bahawa Petra Jaya  telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan Rabies adalah “palsu” dan “tidak benar”.

Perkara tersebut diumum dalam satu kenyataan semalam.

Satu mesyuarat Penyelarasan Bencana Sarawak (Wabak Rabies) turut dilangsungkan pagi tadi yang dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar), Datu Jaul Samion.

Mesyuarat di Bilik Operasi Negeri pada jam 9.00 pagi tadi telah memanggil semua Residen, Pegawai Daerah, Majlis Daerah, Jabatan  Pendidikan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, selain Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dari Bahagian Sarikei, Betong, Sri Aman, Samarahan, Serian  dan Kuching.

“Mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan pengurusan wabak
Rabies dan mengadakan Zon Penampan dan Program Kesedaran Awam melibatkan orang ramai bermula dari Bahagian Sarikei hingga ke Kuching.

“Selain itu, semua Pegawai Daerah melibatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum turut bertanggungjawab dalam mengekang penularan wabak ini.

Tindakan dan perancangan yang dibincangkan termasuklah memberi pendidikan kepada masyarakat di semua Bahagian di Sarawak, dengan melibatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, pihak berkuasa tempatan, sekolah-sekolah dan penduduk kampung di kawasan yang berisiko tinggi dan belum diisytiharkan sebagai lokasi wabak.

Mereka juga diminta mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah serta membuat persampelan anjing di semua kawasan di seluruh Sarawak.

Kata kenyataan itu lagi, sebanyak 477 ekor anjing telah divaksin dan menjadikan jumlah haiwan yang telah divaksin setakat ini berjumlah 18,764 ekor.

Ia melibatkan 11,124 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain.

Program Pelalian Wabak Rabies secara besar-besaran akan diadakan pada
hari Sabtu, 29 Julai di Padang Bola Keranjang, Lorong Arang 15C4, Estet
Everbright Estate, bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Sehubungan itu, pemilik haiwan disarankan membawa anjing masing-masing untuk proses pemvaksinan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak setakat ini telah mengadakan sebanyak 127 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit Rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat, yang dihadiri oleh 26,030 peserta.

Kempen kesedaran tersebut akan dipertingkat di kawasan yang dijangkiti sebelum diperluas ke kawasan yang belum dijangkiti bagi mendidik dan meningkat kesedaran
awam perihal pencegahan jangkitan penyakit tersebut dan tindakan yang
perlu dilakukan sekiranya terkena gigitan anjing atau kucing.

JPVS bersama Majlis Berkuasa Tempatan yang diketuai Kementerian Kerajaan  Tempatan dan Perumahan Sarawak akan memperluas aktiviti pengawalan  anjing dan kucing terbiar di Bahagian Betong dan Sri Aman sebagai langkah  mengawal penularan wabak tersebut.

Persampelan untuk penyakit tersebut  juga akan dipergiat untuk mengesan tahap penyebarannya.

Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak juga telah mengambil tindakan mengawal dan mencegah anjing liar berkeliaran di bawah kawasan selian mereka.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 59 kes gigitan telah dilaporkan pada hari ini, dengan Bahagian Serian mencatatkan16 kes dan Bahagian Kuching 43 kes.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku semenjak 1 April hingga ke hari ini berjumlah 1,075 kes.

Sebanyak 29 kes gigitan telah dimulakan suntikan vaksinasi antirabies pada
hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 652 kes. – Sarawakvoice