SIBU: Organisasi media komersial nasional atau tempatan sedia ada, mungkin tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi mendapatkan berita aktiviti di peringkat masyarakat, justeru Komuniti 1 Malaysia (K1M) diminta aktif bertindak sebagai wartawan komuniti dengan menyiarkan berita bergambar di Facebook masing-masing.

Sarawak mempunyai 235 K1M dan pegawai penerangan yang bertindak sebagai penyelaras diminta memastikan K1M mampu memainkan peranan sebagai wartawan masyarakat melalui akaun laman sosial Facebook.

Abang Sardon Abang Hashim

Memetik Utusan Sarawak pada Khamis,  Pengarah Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hashim berkata, pewujudan akaun laman sosial Facebook membolehkan setiap K1M mengemas kini laporan terkini aktiviti di kawasan masing-masing, selain bagi tujuan berinteraksi sesama K1M.

Berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Dan Ngiling Bidai anjuran Jabatan Penerangan Sibu dan Komuniti 1 Malaysia (K1M) Sibu di Hotel Tanah Mas Abang Sardon berkata, semua K1M di Sarawak sewajarnya sudah dihubungi dengan kemudahan internet dan memiliki akaun Facebook bagi tujuan tersebut.

Menurut Abang Sardon, wartawan komuniti K1M tidak terikat dengan format atau gaya wartawan profesional dalam membuat liputan.

Sebaliknya wartawan komuniti K1M bebas mengikut gaya dan cara tersendiri seperti bercerita atau berpantun dan sebagainya  menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat luar. – Sarawakvoice