CYBERJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Sri Salleh Said Keruak melancarkan portal sebenarnya.my pada 4 Mac 2017 agar Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dapat membendung unsur fitnah yang wujud dalam penyebaran makumat palsu secara online.

“Tidak Pasti, Jangan Kongsi” menjadi slogan pilihan sebenarnya.my agar sesuai dengan mengenali fungsi portal tersebut yang turut menyediakan panduan agar sebarang keraguan berkaitan kesahihan maklumat yang diterima diaju terus kepada admin portal berkenaan.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baru, Pematuhan dan Advokasi MCMC, Dr. Mazlan Ismail berkata portal berkenaan memproses dan menangkis maklumat palsu yang diterima dan dilaporkan secara serta-merta, selain membendung kesan penularan berita berkenaan terhadap individu, masyarakat, dan negara secara keseluruhan.

Menurut Mazlan pada sidang media di ibu pejabat lama MCMC di Cyberjaya dengan mengutip rencana disiarkan Bernama, portal sebenarnya.com berusaha menjaga nama baik individu dan integriti kumpulan yang difitnah, selain melindungi reputasi perniagaan yang menjadi sasaran penularan berita palsu itu.

Sebenarnya.my merupakan saluran laporan sekunder yang menghimpun maklumat secara setempat.

Portal ini menjadi penghubung dengan agensi kerajaan yang bertindak mengatur langkah perlu diambil untuk membendung penularan berita palsu dalam tempoh 24 jam.

Menurut Mazlan, sebenarnya.my dikelola 10 petugas MCMC terbahagi kepada bahagian penyunting laman sosial dan teknikal dengan  enam individu ditugas menyelenggara kandungan berita dikemukakan.

Mazlan memberi contoh beberapa penyebaran berita palsu yang memberi impak negatif kepada perniagaan syarikat tertentu, misalnya penyebaran maklumat bahawa coklat Cadbury Dairy Milk mengandungi DNA babi atau isu wujud kalimah Allah pada tapak kasut Bata yang merugikan syarikat berkenaan.

Turut tersebar berita palsu mutakhir ialah berkaitan isu penggunaan kad bayaran tanpa sentuh ‘payWave’ yang boleh diklon dan kononnya maklumat individu dijual kepada pihak ketiga sehingga menyukarkan usaha Bank Negara menggalakkan transaksi tanpa wang fizikal kepada pengguna kad kredit di Malaysia.

Menurut laporan Bernama terebut, sehingga 31 Mei 2017, lebih 6 juta pengguna melayari portal sebenarnya.my dan diharap mempu memberi kesedaran tentang bahaya fitnah juga secara tidak langsung mengikis tabiat berkongsi berita sewenang-wenangnya.

Pengguna diingatkan agar celik dengan undang-undang serta akta yang sudah termaktub berkaitan penyebaran berita palsu seperti itu. – Sarawakvoice