Tuesday, October 4, 2022

Saman fitnah: Rafizi rayu sumbangan RM300,000 elak diisytiharkan muflis

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dalam keadaan terdesak, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli merayu sumbangan orang ramai bagi mengelakkan diisytiharkan muflis susulan saman fitnah terhadapnya.

Hal ini berikutan dakwaan tidak mampu membayar ganti rugi serta kos berkaitan saman fitnah oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) terhadapnya sebanyak RM300,000.

Rafizi berkata dalam surat rayuan terbuka, beberapa minggu lalu, peguamnya menerima surat tuntutan meminta ganti rugi dan kos yang perlu dibayar.

Jika tidak, ujar Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, mereka mengancam untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadapnya.

Sebelum itu, saman difailkan selepas Rafizi mendakwa pengerusi NFC, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City dengan dana awam.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Rafizi bersalah dan memerintahkan Ahli Parlimen Pandan itu membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC serta kos sebanyak RM100,000.

Rafizi dikenali sebagai pemimpin politik yang sering mendedahkan pelbagai isu dan salah guna kuasa di negara ini.

“Sebenarnya kes ini sedang melalui rayuan di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan dalam bulan Oktober 2017,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

“Walaubagaimana pun, undang-undang menetapkan saya perlu membayar dahulu kalaupun saya mungkin menang di peringkat rayuan,” katanya.

Rafizi mengakui tidak selesa memohon bantuan orang ramai.

“Ini kerana saya tidak dibesarkan untuk bergantung harap kepada orang lain.

“Masalahnya semua simpanan saya sudah dibelanjakan untuk memulakan Invoke agar rakyat ada peluang yang lebih tinggi menewaskan BN dalam PRU akan datang,” katanya lagi.

Mengakui tidak menyesal dengan tindakan sehingga mengheretnya ke dalam kancah sekarang walaupun berdepan risiko muflis.

“Kerja tidak berbayar untuk mendedahkan rasuah ini mendedahkan pula kami kepada pelbagai risiko seperti saman dan tindakan undang-undang,” akuinya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru