KUCHING:  Terdapat persamaan sejarah antara bahasa Melayu Sarawak dengan bahasa Melayu di wilayah Sambas dari segi struktur dan tatabahasa, kata pakar bahasa  Akbar Haqi.

Menurut Akbar yang pernah menuntut selama tiga tahun di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), terdapat persamaan yang ketara dari segi kosa kata tertentu misalnya aku, kamek, auk, sitok, urang bagi kedua-dua bahasa berkenaan.

Suku Melayu Sambas merupakan suku bangsa yang menduduki pantai utara bahagian barat wilayah Kalimantan Barat.

Mereka menebar di daerah Sambas, Bengkayang dan Singkawang.

Sebahagian kecil lagi terdapat di Sarawak.

Menulis dalam majalah Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Julai beliau berkata, begitu banyak adat, budaya dan bahasa dikongsikan antara Melayu Sambas dengan Melayu Sarawak.

“Beberapa orang berkata bahawa orang Melayu Sambas dan Melayu Sarawak  boleh berkomunikasi dengan sangat baik dan hal yang sedemikian itu terbukti benar,”katanya.

“Sebagai pelajar yang berasal dari Melayu Sambas, ujarnya, memang tidak dapat dipungkiri bahawa begitu banyaknya kesamaan yang dirasakan selama menetap di Sarawak, terutama di kawasan Samarahan.

“Sebenarnya banyak lagi sejarah yang masih menjadi misteri bagi kedua-dua bahasa tersebut. Hal sedemikian ini disebabkan kurangnya dokumentasi atau catatan sejarah yang boleh dijadikan sumber rujukan,”tulisnya.

Keadaan  ini, tambahnya, menyebabkan ketidakfahaman masyarakat, baik masyarakat Sambas mahupun Sarawak bahawa kedua-dua bahasa tersebut merupakan daripada suatu kesatuan.

“Kedua-dua bahasa tersebut tentu saja mempunyai keunikan dan ciri khas sendiri.

Dengan mengetahui sejarah daripada kedua-dua bahasa tersebut, dapat dipastikan bahawa suku Melayu Sambas dan suku Melayu Sarawak mempunyai hubungan yang begitu erat kerana mereka mempunyai sejarah nenek moyang yang sama,” katanya lagi. – Sarawakvoice