Uggah selar pihak tidak bertanggungjawab sebar maklumat palsu mengenai rabies, jamin tiada diskriminasi dalam rawatan

0
4

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini menyelar sikap sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu mengenai ancaman rabies di negeri ini.

Katanya, tindakan itu amat mengecewakan hingga memaksa pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia semalam.

“Ia suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, menakutkan rakyat dan memberikan maklumat yang tidak tepat.

“Itu adalah perkara terakhir yang kita lakukan. Kita mahukan sokongan semua pihak dalam menghadapi bencana ini,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Katanya lagi, insiden seperti ini tidak harus dijadikan bahan permainan atau alat politik.

“Kita tidak akan mendiskriminasikan mana-mana bangsa waima ia berbeza pandangan politik mahupun warga asing, katanya lagi.

Beliau merujuk tindakan sesetengah pihak bertanggungjawab yang menambah nama kawasan pada senarai kawasan yang dijangkiti wabak, yang dikeluarkan oleh sekretariat negeri.

Bidasan turut diberikan terhadap bekas Adun DAP bagi kawasan Batu Kawa, Christina Chew yang mendakwa tidak diberikan vaksin setelah digigit anjing.

Menyentuh tentang vaksin rabies untuk haiwan, Douglas berkata, beliau telah bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shahbery Cheek semalam dan memohon tambahan penawar tersebut untuk negeri ini.

“Kita bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat dalam menghadapi situasi ini,” jelasnya. – Sarawakvoice