Rabies: ‘Anjing itu betul-betul macam zombie, berkelakuan pelik,’ kata penduduk di Serian

0
15

KUCHING: Selepas hampir dua dekad tiada laporan kes jangkitan penyakit anjing gila atau virus rabies dilaporkan di negara ini, Sarawak menjadi mangsa kejutan awal bulan ini apabila wabak itu telah meragut lima nyawa di daerah Serian setakat hari ini.

Pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Nor Hisham Abdullah pada 1 Julai lepas bahawa tiga kanak-kanak termasuk dua beradik disah menjangkiti virus itu telah menggemparkan penduduk Serian, daerah yang terletak kira-kira 25km dari Kalimantan, Indonesia.

Siasatan Bernama mendapati sejak awal Mei lagi, penduduk di Kampung Paon Sungai Rimu dan Kampung Paon Sungai Rimu Bakung di daerah itu, sudah pun melihat perubahan ketara dalam kalangan anjing peliharaan mereka mahupun yang berkeliaran di kawasan itu.

Haiwan itu dilihat berkelakuan pelik, gelisah dan agresif, berjalan serta berpusing sekitar kawasan kampung tanpa arah tujuan, menggigit apa-apa sahaja termasuk penduduk, tanaman seperti pokok pisang, ubi kayu dan tebu serta paling utama air liur berlebihan, dan ekor melengkung ke bawah.

Beberapa penduduk tempatan menyedari beberapa anjing di kampung itu berbeza watak dan menunjukkan gejala penyakit dan mereka secara sepakat mengambil tindakan drastik dengan membunuh haiwan itu bagi mengelak berlaku kejadian yang lebih buruk.

“Anjing ini betul-betul macam zombie, saya pukul dia rebah (jatuh) dua tiga minit kemudian bangun balik dan serang, kita kena pukul di tempat yang betul, baru dia mati,” kata seorang mekanik di kampung itu, Herman Linus, 30-an, kepada Bernama.

Seorang lagi penduduk Kampung Paon Sungai Rimu, yang hanya mahu dikenali sebagai Jonathan, berkata mereka menyedari kelakuan pelik anjing sekitar awal Mei apabila pada waktu malam, anjing peliharaan penduduk akan menyalak dengan kuat seakan mengesan ada ‘pencerobohan’ berlaku.

“Kami ingat ada anjing luar masuk ke kampung…sebab itu anjing peliharaan penduduk berkelakuan seperti itu. Tetapi baru sedar kelakuan pelik itu berpunca daripada penyakit,” katanya.

Menurutnya, penduduk yang digigit anjing segera dibawa untuk mendapatkan rawatan di klinik serta hospital berhampiran, namun apa yang berlaku di kampung itu tidak dilaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa.

Ini kerana, sebelum ini, Sarawak adalah sebuah negeri yang diisytihar bebas virus rabies biarpun bersempadan dengan Kalimantan yang merupakan kawasan wabak tersebut.

Susulan pengumuman kes positif virus rabies, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengisytiharkan 20 kawasan di daerah Serian, Kuching dan Tebedu sebagai kawasan wabak rabies.

Sejak kempen suntikan vaksin anti-rabies dimulakan, 17,844 ekor haiwan peliharaan disuntik di daerah berkenaan, terdiri daripada 10,204 anjing dan 7,595 kuching, serta lain-lain haiwan peliharaan.

Walaupun mangsa gigitan anjing gila ini mungkin tidak mengalami sebarang simptom serta merta kerana lazimnya, virus rabies akan melalui tempoh inkubasi di antara 10 hari hingga enam bulan.

Namun mangsa gigitan dinasihatkan supaya membersihkan luka dengan sabun dan air selama kira-kira 15 minit sebelum mendapatkan suntikan vaksin antirabies secepat mungkin.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr Adrian Susin Ambud berkata kawasan yang diisytihar sebagai kawasan wabak akan bertindak sebagai zon penampan bagi mengekang penularan virus itu dalam kalangan anjing.

Selain memberi vaksin kepada anjing peliharaan, majlis daerah di kawasan sekitar turut bertindak menangkap anjing liar di kawasan wabak.

Penolong Pegawai Veterinar Kanan JPVS pula, Ahtien Ijon, berkata anjing dan kucing dalam kawasan wabak tidak boleh dikeluarkan dari lokasi tersebut selepas pengisytiharan dibuat.

“Mereka yang melanggar arahan boleh dikenakan kompaun RM5,000 atau tiga bulan penjara,” katanya yang turut dalam sesi taklimat kepada orang ramai dengan bertujuan meningkatkan kesedaran bahaya wabak tersebut di sekolah-sekolah serta kampung sekitar kawasan wabak.

Bagi Dr Adrian, pemvaksinan berpusat kepada haiwan peliharaan yang dilaksanakan untuk mengurangkan risiko penularan wabak juga mendapat pujian pelbagai pihak kerana pemvaksinan berpusat lebih berjaya berbanding jika dibuat secara rumah ke rumah.