Friday, December 2, 2022

Pindaan RUU dibahas, benarkan pegawai JKM keluarkan EPO lindungi mangsa keganasan

Secara Rawak

KUCHING: Antara pembaharuan di bawah Rang Undang-Undang Keganasaan Rumah Tangga 1994 (Pindaan) 2017 ialah melibatkan pindaan kewujudan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO).

Menurut Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah sebelum ini hanya pihak mahkamah berhak mengeluarkan EPO.

Namun, menurut beliau selepas kelulusan nanti Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mempunyai kebenaran mengeluarkan EPO yang mampu melindungi mangsa keganasan rumah tangga pada peringkat awal sebelum kes disebut di mahkamah.

Datuk Fatimah Abdullah (gambar fail)

Jelas, EPO mampu menghalang si pelaku mencederakan mangsa, menghasut orang lain melakukan keganasan serta melarang pelaku memasuki tempat perlindungan sementara mangsa.

Bagaimanapun, EPO masih menunggu untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang.

Statistik Polis diRaja Malaysia (PDRM) setakat April 2017 menunjukkan terdapat 165 kes keganasan rumah tangga dilaporkan.

Pada tahun lepas, kes keganasan rumah tangga dilaporkan meningkat kepada 427 kes berbanding 279 kes pada 2015.

Pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di Hotel Hilton, Fatimah berkata EPO diguna pakai sekiranya sesuatu kes keganasan berlaku pada waktu malam atau pada hujung minggu, yakni pada luar waktu pejabat.

Fatimah turut mengumumkan apabila siap, kementeriannya sedia mengedarkan buku Panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani keganasan rumah tangga.

Buku akan diedarkan kepada agensi dan jabatan seperti PDRM, pusat khidmat krisis sehenti (OCPC), badan bukan kerajaan serta pemimpin masyarakat. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru