Pas akui ramai rakyatnya berada di luar Kelantan

KUALA LUMPUR: Pas hari ini tidak  menafikan bahawa ramai rakyat Kelantan berada di luar negeri berkenaan, namun angkanya tidaklah jauh berbeza jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan, kesungguhan rakyat Kelantan pulang ke kampung halaman setiap kali menjelang cuti sekolah menjadikan seolah-olah hanya rakyat negeri itu berada di luar negeri ditambah pula dengan dialek percakapan yang tidak diubah sekalipun berbelas-belas tahun tidak berada di kampung halaman.

Ahmad Fadhli Shaari  menyangkal dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN)  Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed  dalam akhbar  semalam yang menyatakan bahawa Pas Kelantan gagal membela rakyat dan menyebabkan sebahagian rakyatnya berhijrah keluar mencari pekerjaan.

Memetik  Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia tahun 2013 untuk tempoh 2012-2013 , kata Ahmad Fadhli,   tiga negeri yang menjadi negeri penghantar migran utama dengan jumlah migran keluar bersih tertinggi dicatatkan ialah  wilayah persekutuan Kuala Lumpur (26,800 orang), Negeri Sembilan (9,200 orang) dan Perak (7,700 orang).

Ujarnya, tiga negeri yang mencatat penerimaan migran tertinggi ialah Selangor  sebagai negeri penerima migran utama dengan jumlah migran masuk bersih sebanyak 31,000 orang, diikuti Sabah sebanyak 6,500 orang dan Kelantan 4,400 orang.

“Jelas sekali di dalam angka-angka di atas, Kelantan tidak pernah menjadi negeri pengeluar migrasi yang tertinggi bahkan tidak menduduki tempat tiga atau lima negeri tertinggi.

Bahkan Kelantan pernah menjadi negeri penerima migrasi yang utama dan ia berlaku ketika negeri ini ditadbir oleh PAS. Justeru, adalah jelas sekali kenyataan Pengerusi Barisan Nasional negeri ini tidak berasas dan wajar ditolak sama sekali,” katanya dalam satu tulisan sepeti disiarkan dalam harakahdaily.

“Barangkali untuk PRU-14 ini adalah penggal terakhir untuk Datuk Seri Mustapa Mohamed mencuba nasib menawan Kelantan. Selepas itu, berehatlah Datuk Seri,” katanya sinis. – Sarawakvoice