Tuesday, June 28, 2022

Imbangan tidak stabil punca tongkang terbalik di Sungai Rimbas

Secara Rawak

BETONG: Faktor keseimbangan dipercayai menjadi punca sebuah tongkang karam ketika menjalankan kerja-kerja pembinaan jambatan konkrit di Sungai Rimbas, Pusa pagi semalam.

Menurut saksi yang enggan namanya didedahkan, ketika kejadian sekitar jam 8 pagi itu, kumpulan pekerja yang terbabit dalam insiden ini sedang memindahkan muatan simen dari lori pembancuh simen di atas kapal tongkang itu.

“Tongkang ini berlabuh di tengah sungai dan ketika kejadian, ia tidak begitu stabil.

“Pada mulanya, saya melihat lori pembancuh simen dan kren pengangkut tergelincir diikuti tongkang hilang imbangan lalu terbalik.

“Kesemua pekerja yang berada di atas tongkang bagaimanapun sempat terjun ke dalam sungai sebelum berenang ke tebing untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Ini merupakan kali kedua kemalangan atas tongkang berlaku ketika kerja-kerja pembinaan dilakukan di negeri ini.

Pada awal tahun ini, satu kren menyembah bumi, juga kerana hilang keseimbangan ketika melaksanakan kerja-kerja pembinaan jambatan di Sungai Sarawak.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Fahdil Antum Abdullah mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, turut tenggelam ialah dua lori pembancuh simen serta sebuah kren pengangkut.

“Siasatan awal mendapati tiada anak kapal atau pekerja binaan cedera dan hilang dalam kejadian itu,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru