Hanya 26% pelajar Bumiputera: Abg Johari gesa pertingkatkan aliran sains

0
4

KUCHING: Anak-anak serta pelajar Bumiputera termasuk daripada kalangan masyarakat Melayu hanya 26 peratus layak memasuki kelas aliran Sains.

Misalnya, Sekolah Menengah Sains Kuching di Matang yang mampu menampung sehingga 1,000 pelajar ketika ini, hanya menerima 400 pelajar Bumiputera sahaja, akibat terlalu rendah pelajar yang layak memasukinya.

Justeru, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyeru masyarakat Melayu terutama yang tinggal di perkampungan sekitar bandar raya ini, menyahut cabaran setanding kaum lain agar menggalak anak cucu mereka menyertai kelas aliran Sains.

Merasmikan Majlis Ramah-Tamah Adilfitri Pertubuhan Anak Seni Bandarshah Kuching (PASBK), Abang Johari berkata masyarakat Bumiputera perlu melengkapkan diri sesuai dengan cita-cita ekonomi digital kerajaan yang berasaskan sains dan teknologi.

Menurut Abang Johari, menjadi tugas orang tua menggalakkan anak dan cucu memasuki kelas aliran sains memudahkan mereka mengikuti kursus di institusi pengajian tinggi yang sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi.

Pada majlis terbabit, Abang Johari turut berjanji membantu PASBK membina dewan masyarakat Kampung Bandarshah.

Sebelum ini, jawatankuasa PASBK setuju membeli tanah bernilai RM320,000 bagi membina dewan masyarakat dari dana sumbangan mantan ketua menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Dewan terbabit digunakan sebagai kelas, pusat tuisyen, menjalankan aktiviti persatuan serta majlis kenduri-kendara penduduk sekitar. – Sarawakvoice