Datuk Bandar Miri sangkal dakwaan pernularan wabak Rabies

0
4
Datuk Bandar Miri Adam Yii

MIRI: Wabak rabies tidak merebak ke Bandar Miri seperti yang didakwa sesetengah  pihak yang menjadi tular di media sosial, kata Datuk Bandarnya Adam Yii Siew Sang semalam.

“Ia adalah berita palsu,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kebimbangan mengenai wabak rabies yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp hari ini,  mendakwa lima anjing liar yang dijangkiti rabies telah ditakai di Kuala baram di sini, pagi tadi.

Foto seekor anjing yang kurus dan lemah disertakan dalam catatan di laman sosial itu yang mendakwa anjing itu pernah dilihat di Taman Tunku, salah satu kawasan perumahan yang padat dengan penduduk di Bandar Miri.

Walaupun Bandar Miri masih bebas daripada wabak rabies, Yii menasihatkan pemilik haiwan peliharaan supaya mengambil langkah yang perlu bagi mengelakkan wabak itu menular di sini,  termasuk   memberikan   vaksin  kepada  haiwan  peliharaan mereka dan menyimpan mereka dalam kawasan rumah.

Beliau berkata orang ramai perlu memberikan kerjasama bagi mengelakkan wabak itu daripada menular.

Setakat ini wabak itu dilaporkan melanda Kuching, Samarahan dan Sri Aman.

Sementara itu di KUCHING, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak membuat laporan polis terhadap beberapa catatan palsu yang disebarkan di aplikasi WhatsApp dan Facebook di Balai Polis Tebedu.

Mejar Ismail Mahedin daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia hari ini membuat laporan polis pada pukul 2.15 petang terhadap satu catatan palsu yang mendakwa lebih daripada 20 lokasi di Sarawak telah digazetkan sebagai kawasan wabak rabies tetapi fakta sebenar hanya 20 kawasan yang digazetkan setakat ini. Bernama