Wednesday, August 17, 2022

Ahmad Zahid mahu KDN bebas rasuah, beri isyarat ikan busuk dari kepala

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi menuntut semua jabatan dan agensi di bawahnya harus “bebas rasuah”.

Tegasnya, ini perlu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat setelah begitu banyak persepsi negatif berkaitan rasuah dikaitkan dengan penjawat-penjawat awam negara ini.

“Apatah lagi Kementerian Dalam Negeri … yang merupakan sebuah kementerian yang terlalu sensitif, yang memberikan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan kementerian tersebut di sini pagi tadi.

Gambar fail

Polis Diraja Malaysia (PDRM) misalnya,  yang berada di barisan hadapan dalam soal keselamatan tentunya terdedah kepada amalan-amalan yang tidak baik ini, sama ada memberi dan menerima.

“Begitu juga jabatan-jabatan dan agensi lain.

“Lazimnya untuk mempercepat sesuatu proses, maka ‘pelinciran’ dijadikan sebahagian daripada urusan.

“Lazimnya untuk mengelak sesuatu hukuman yang tinggi atau denda,  maka rasuah diberikan.

“Lazimnya apabila mahu sesuatu itu dapat diluluskan maka rasuah dilakukan.

Perkara ini kata Timbalan Perdana Menteri, perlu dihapuskan.

“Amalan rasuah ini cukup menebal suatu ketika dalam kalangan masyarakat Malaysia sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta .

“Ini amat membimbangkan kerana kalau kita mahu menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, bebas daripada amalan rasuah maka amalan menolak dan membanteras gejala rasuah menjadi budaya.

Kerana itu katanya, beliau merakamkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai keberanian untuk meminta semua kementerian, jabatan dan agensi serta kerajaan negeri untuk mengadakan upacara ikrar bebas rasuah.

“Ia bukan gimik dan bukan retorik. Ia merupakan komitmen. Komitmen ini tidak hanya sekadar membaca ikrar tetapi disertai dengan perakuan. Dan ini telah dilakukan. Di dalam hati dan di dalam minda kita mesti ditanamkan budaya menolak rasuah,” tegasnya lagi.

Ahmad Zahid turut merakam tahniah kepada PDRM, Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara kerana menjadi jabatan pertama  di barisan hadapan kementerian ini yang tampil mengadakan upacara ikrar bebas rasuah.

“Rasuah ini bukan hanya memerlukan penguatkuasaan dari luar. Ia harus datang dari dalam. Inilah komitmen dan iltizam yang diperlukan.

Tambahnya, pembanterasan rasuah perlu bermula dari atas, iaitu peringkat kepimpinan.

“Kerana seseekor ikan itu busuk, ia tidak bermula dari ekor. Tetapi pasti bermula dari kepala. Kita sebagai kepala-kepala itu harus komited.

“Dengan komitmen inilah baharu usaha ini akan berjaya dan rasuah dihapuskan. Dan kita harus berusaha ke arah itu,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru