KUCHING: The Flying Dayak, Watson Nyambek mengetuai cabaran 81 atlet Sarawak dalam cabaran Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Terbuka Malaysia, yang bermula semalam di Stadium Sarawak.

Turut berada dalam kem Sarawak ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazruddin Abdul Rahman dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Dr Ong Kong Swee.

Mereka merupakan sebahagian daripada 680 atlet yang beraksi untuk temasya dua hari itu, yang beraksi secara individu.

Selain atlet Sarawak, Sabah dan beberapa negeri di Semenanjung, turut menyertai kejohanan ini ialah beberapa institut pengajian tinggi di negeri ini.

Sebanyak 13 negara luar turut menghantar penyertaan seperti Uzbekistan, Sri Lanka, Nepal, Singapura, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Brunei Darussalam.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapannya memberitahu, penganjuran kejohanan ini merupakan sebahagian daripada beberapa kejohanan sukan antarabangsa yang telah, sedang dan akan dianjurkan di negeri ini.

“Sarawak kini membida untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Masters Asian ke-21 yang akan diadakan pada tahun 2019.

“Ia merupakan salah salah acara berprestij untuk golongan veteran yang mampu menarik perhatian lebih 1,500 atlet dari seluruh dunia.

“Kita akan bekerjasama dengan Persatuan Olahraga Masters Asia dan Persatuan Olahraga Masters Malaysia untuk menjayakan pembidaan ini,” katanya lagi. – Sarawakvoice