22 Julai: Pelantikan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak tidak tepat, satu anomali

0
32

KUCHING: Pelantikan setiausaha agung Parti Kebangsaan Sarawak Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak  pada 22 Julai 1963 sebagai tidak perlu, malah satu anomali iaitu sesuatu yang terkeluar daripada peraturan dan harapan.

Tun Ghazali Shafie yang diberi tanggungjawab penting oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dalam usaha membentuk Malaysia dalam memoirnya berkata, pelantikan Ningkan sebelum Hari Malaysia diisytiharkan pada 16 September didakwa dilakukan tanpa persetujuan pentadbiran kolonial.

Kabinet pertama Sarawak dibentuk pada hari ini 54 tahun lalu dengan Ningkan sebagai Ketua Menteri.

Ghazali sering melawat Sarawak, Sabah dan Brunei  untuk mendapatkan maklum balas rakyat pada awal 1960-an dalam usaha memujuk negara terbabit agar bersetuju menganggotai Malaysia.

“Pada ketika itu, tidak jelas siapa memulakan gerakan, tetapi tanpa persetujuan pentadbiran kolonial, perkara itu tidak akan berlaku,” katanya dalam memoir tentang pembentukan Malaysia.

Katanya, sehingga masa tersebut, tidak ada peruntukan bagi pelantikan sedemikian.

“Nampaknya ‘Ketua menteri’ adalah suatu perkara yang tidak perlu memandangkan adanya peranan Ketua Setiausaha Koloni dan semasa zaman kolonial, Gabenor memegang kuasa eksekutif tertinggi,” ujarnya lagi.

Hal ini, kata Ghazali, jelas suatu anomali dalam konteks Malaysia dan idea itu ditentang dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold.

“Saya mengatakan pelantikan Stephen Kalong Ningkan sebagai tidak tepat. Perkara itu mungkin dapat diterima ketika Gabenor Kolonial masih memegang jawatan,” katanya.

Temenggong Jugah anak Barieng juga dicadangkan menjadi Gabenor oleh pihak British.

Manakala Tunku Abdul Rahman bertegas mahu Datu Abang Haji Openg.

Akhirnya terdapat kompromi, dengan Abang Openg menjadi Gabenor Sarawak selepas penjajahan berakhir.

Jugah pula dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Sarawak dalam Kabinet Tunku sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi.

“Selepas mendengar cadangan British, Tunku menjadi merah padam marah dan segera memanggil mesyuarat tergempar Kabinet,” kata Ghazali, dan menambah beliau juga turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan di dewan makan Residensi.

Kata Ghazali, Tunku amat marah dengan pelantikan Ningkan sebagai Ketua Menteri pada peringkat itu, dan berkata bahawa campur tangan oleh pentadbiran kolonial apabila Jawatankuasa Lansdowne tidak membuat peruntukan itu adalah menyalahi peruntukan.

Katanya, Tunku menyedari amat sukar bagi Malaysia bertahan apabila terdapat terlalu banyak gangguan dan pelanggaran kefahaman. Gagasan Malaysia hampir tidak menjadi kenyataan.

Seorang demi seorang menteri bercakap dalam mesyuarat itu, katanya lagi.

Bagaimanapun, jelasnya lagi Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak membuat pendirian tegas.

Tanpa Sarawak dan Sabah tidak akan ada Malaysia.

“Beliau berkata tidak boleh bayangkan keadaan tanpa Sarawak dalam Malaysia,” katanya. – Sarawakvoice