
Pada 22 Julai tahun ini, buat kali kedua rakyat Sarawak menikmati cuti umum. Pencinta sejarah dan negarawan Tan Sri Adenan Satem telah mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum untuk mengingati perjuangan tokoh pemimpin yang telah berjasa dan membawa kepada kemerdekaaan negeri Sarawak.
Sebenarnya 22 Julai 1963 penting dalam sejarah Sarawak dengan pewartaan Majlis Tertinggi oleh Gabenor Sir Alexander Waddel.
Pelantikan Ketua Menteri Pertama
Pada 22 Julai 1963 juga berlakunya pelantikan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri yang pertama yang termaktub dalam notis 1167 atau dikenali sebagai notis pertama.
Antara tokoh politik Sarawak yang dilantik ialah Awang Hipini Pengiran Anu sebagai Menteri Negeri, Dustan Endawie anak Enchana sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, Abdul Taib Mahmud sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya, Teo Kui Seng dilantik sebagai Menteri Sumber Alam, dan James Wong Kim Min sebagai Timbalan Ketua Menteri. Sebenarnya nama-nama ini ialah Majlis Tertinggi baharu yang terkandung dalam notis kedua atau dikenali sebagai notis 1168.
Notis ini telah dicetak, diterbitkan dan diisytiharkan oleh Gabeneor Sir Alexander Waddell pada 22 Julai dan diterbitkan sebagai The Sarawak Government Gazzette Extraordinary Part V yang di bawah kuasa Sarawak (Constitution) Orders in Council 1956 to 1963. Di sinilah wujudnya notis pertama dan kedua ini.
Kolonial Tetap Berkuasa
Sarawak sebagai Crown Colony Britain menjadikan kuasa mutlak tetap di tangan Raja atau Ratu Great Britain, manakala Gabenor ialah wakil baginda di Sarawak.
Sebelum itu, pilihan raya negeri dan kabinet negeri memang ada, namun masih di bawah bayangan kuasa kolonial Inggeris. Dasar dan pentadbiran masih tertakluk kepada kuasa kolonial. Yang pasti Sarawak belum merdeka lagi.
Ke arah Kerajaan Sendiri
Yang ada pada 22 Julai 1963 hanyalah detik awal negeri di bawah jajahan empayar Inggeris yang memulakan arah untuk mencapai taraf berkerajaan sendiri sehingga Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.
Kepemimpinan politik mulai lebih bertanggungjawab ke arah pentadbiran Sarawak. Ia hanyalah satu bahagian pembaharuan dalam perlembagaan yang dipinda yang akhirnya membawa berkerajaan negeri, namun tidak bermakna Sarawak merdeka pada tarikh tersebut.
Tarikh pengisytiharan kemerdekaan Sarawak banyak dipinda dan akhirnya hari kemerdekaan Sarawak ialah melalui pembentukan Malaysia.
Politik Hari Sarawak
Pengisytiharan Hari Sarawak sangat penting dan memberikan implikasi dari aspek politik dan sosial. Dari segi teori fungsional dalam ilmu sosiologi, pengumuman Hari Sarawak dapat menyatukan seluruh penduduk negeri Sarawak untuk mengingati perjuangan tokoh-tokoh negeri Sarawak yang sudah lama berjuang dan perlu diraikan perjuangan mereka.
Ia juga mengingati proses berkerajaan sendiri sebelum mencapai kemerdekaan sepenuhnya melalui pembentukan Malaysia.
Peristiwa ini juga mengingati bahawa Sarawak bukanlah wujud selepas pembentukan Malaysia.
Perlembagaan Sarawak
Namun tidak ramai mengetahui sejarah pada 24 September 1941 di Sarawak, iaitu Charles Vyner Brooke telah mengisytiharkan perlembagaan Sarawak sempena perayaan 100 tahun pemerintahan keluarga Brooke.
Antara lain, perlembagaan ini menekankan aspek pemberian kuasa kepada rakyat Sarawak. Perlembagaan ini merupakan perlembagaan bertulis pertama Sarawak, namun tidak sempat dilaksanakan akibat Perang Dunia Kedua tercetus.
Perlembagaan Sarawak 1941 antara lain menyatakan penyerahan kuasa Charles Vyner Brooke kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri, manakala Majlis Negeri diberikan kuasa meluluskan undang-undang dan menguruskan kewangan.
Perlembagaan ini merupakan langkah Sarawak mempunyai kuasa dan pentadbiran sendiri, mengakhiri pemerintahan autokratik Brooke yang akan membenihkan institusi demokrasi yang akhirnya membawa kepada penubuhan kerajaan sendiri. Namun ini bukanlah bermakna Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dari segi sejarah.
Interaksi Simbolik
Cuma dari segi teori interaksi simbolik ia memberikan kesan kejiwaan kepada anak Sarawak hingga menjadi terlalu sentimental dan diangkat menjadi seolah-olah Sarawak merdeka pada tarikh tersebut.
Kesemua ini mampu membina ‘imaginasi masyarakat Sarawak’ tentang proses kemerdekaan Sarawak yang dapat mengukuhkan perpaduan seluruh rakyat Sarawak. – Sarawakvoice