KUCHING: Ketika Sarawak bakal menyambut Hari Sarawak Sabtu ini, selepas diwartakan sebagai hari cuti umum tahun lalu, sebahagian rakyat menuntut supaya negeri ini dilayan secara  saksama seperti dijanjikan pemimpin persekutuan menjelang pembentukan Malaysia pada 1963 sesuai dengan janji Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Kata Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dalam ucapan yang disampaikan di Dewan Rakyat pada 1961: “Saya menyebut bahawa semua negeri dalam Malaysia akan menikmati hak dan status yang sama.”

“Sebenarnya, setiap orang mesti mengetahui bahawa di bawah Konsep Malaysia tidak akan ada tanah jajahan kerana di tempatnya akan hanya terdapat Malaysia mereka,” kata Tunku yang cuba menepis tuduhan pihak yang antipenubuhan Malaysia bahawa Sabah dan Sarawak akan dijajah dan didominasi Semenanjunng Tanah Melayu dan orang Melayu.

“Semua negeri akan mempunyai status yang sama dan kuasa simpanan negeri sebagaimana dipersetujui oleh semua negeri berkenaan,” ujarnya.

“Malaysia akan menjadi objek terakhir kesetiaan kita,” tegasnya.

Sebelum 1963, Sarawak dan Sabah ialah negeri yang dijajah oleh British, manakala Brunei negeri naungan di bawah kerajaan British.

Sarawak, Borneo Utara (Sabah), Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura bersetuju bersatu menubuhkan Malaysia pada 16 September 1963. Namun, akhirnya Singapura ditendang keluar pada 9 Ogos 1965.

Isu berkaitan dengan autonomi Saerawak banyak diperkatakan sejak akhir-akhir ini, malah menjelang sambutan Hari Sarawak, kelihatan banyak sekali bendera dan kereta yang mengibarkan bendera dan slogan ‘Sarawak for Sarawakian’. – Sarawakvoice