RM2.9 juta disuntik untuk tangani rabies — Abang Johari

0
9

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM502 ribu daripada Kerajaan Negeri bagi memperkukuh usaha menangani wabak rabies di negeri ini.

Abang Johari berkata, daripada jumlah tersebut, sekitar RM125 ribu adalah untuk pembelian peralatan manakala  RM377 ribu untuk penyediaan vaksin bagi kelompok barisan hadapan.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kesihatan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.4 juta untuk pembelian vaksin bagi manusia,” jelasnya selepas mendengar taklimat dan menyaksikan sendiri proses pemvaksinan wabak rabies di Dewan Masyarakat Batu 10 di sini petang tadi.

Kawasan jangkitan rabies kini menular ke Pekan Siburan, selepas seekor anjing ditemui positif virus tersebut di Pekan Siburan.

“Ini menyebabkan kawasan zon penampan sejauh 10 kilometer radius dipanjangkan ke Pekan Batu 10 dan Batu 7 di sini.

Turut berhadapan situasi yang sama ialah Pekan Lachau di Sri Aman, selepas anjing yang sama ditemui di Rumah Janta Punggu Mawang.

“Kita kini sedang melaksanakan langkah berjaga-jaga dan pergerakan anjing dan kucing yang tiada tanda pemvaksinan turut diawasi dengan teliti.

“Malah esok Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan berbincang dengan Konsulat Indonesia bagi menghadapi situasi meruncing ini,” kata Ketua Menteri tadi.

Setakat jam 5 petang tadi, Jaabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah
mengisytiharkan 18 kawasan wabak Rabies iaitu Kampung Krait, Kampung Paon Rimu , Kampung Paon Rimu Bakong, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Seroban, Kampung Tangga dan Kampung Ampungan.

Turut tersenarai Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas dan Kampung Rasau. Kesemua kampung ini di Daerah Serian.

Pada minggu ini, Pekan Siburan, Bandar Serian, Batu 45 Jalan Kuching-Serian,
Kampung Temong Mura (Tebedu) dan Rumah Janta Punggu Mawang di Sri Aman pula mencatat kes haiwan yang dijangkiti wabak tersebut.

Sehingga hari ini, kes haiwan disahkan positif rabies adalah sebanyak 32 kes
yakni anjing 26 ekor dan kucing 6 ekor.

Manakala sebanyak 157 ekor binatang telah dikawal dan dicegah dengan anjing 137 ekor dan kucing 20  ekor. – Sarawakvoice