Dokumen di London: Tunku Abdul Rahman lawat Sarawak pujuk pemimpin tempatan pada Julai 1961

0
30

KUCHING: Pada awal pengumuman gagasan penubuhan Malaysia oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada 1961, rakyat Sarawak sangsi akan rancangan tersebut.

Namun, bagi meleraikan salah faham dalam kalangan penduduk terbabit, berdasarkan pelbagai dokumen di Arkib Negara di London yang diteliti Sarawakvoice, Tunku telah mengadakan kunjungan ke Brunei dan Sarawak pada bulan Julai 1961 bagi mendapatkan sokongan daripada pemimpin tempatan.

Foto Google Image

Terdapat 600,000 dokumen sejarah disimpan di arkib berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai Public Record Office, termasuk dokumen lengkap mengenai penjajahan British sejak 1946 hingga 1960-an dan dokumen konspirasi Rosli Dhoby membunuh Gabenor British, Duncan Stewart pada 1949.

Ketika di Sarawak, berdasarkan pelbagai sumber ditemui, Tunku berkesempatan melawat Sibu dan tokoh kenamaan termasuk Temenggong Jugah anak Barieng, Aini Doby, adik kepada Rosli Dhoby, Tuanku Haji Bujang, Abang Lous barieng atau Abang Salahuddin dan Ahmad Zaidi Adruce, Ketua Barisan Pemuda Sarawak.

Tuanku Haji Bujang, Abang Salahuddin dan Ahmad Zaidi kemudiannya menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Tunku telah juga bertemu dengan ketua masyarakat Melayu di Kuching, Datu Bandar Abang Mustapha yang juga Presiden Parti Negara Sarawak.

Abang Mustapha kemudiannya dilantik sebagai Menteri dalam Kabinet Tunku, namun meninggal dunia seminggu kemudian pada Januari 1964.

Dalam usaha untuk merealisasikan rancangan Malaysia, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia bagi mempromosikan rancangan Malaysia, serta Persuruhjaya Cobbold untuk mendapatkan maklum balas rakyat Sabah dan Sarawak telah dibentuk.

Sarawak bersama-sama Sabah, Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura akhirnya bersetuju membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Kabinet Negeri pertama Sarawak dibentuk pada 22 Julai 1963, dengan Stephen Kalong Ningkan, pemimpin Iban dari  Sarawak National Party (SNAP) sebagai Ketua Menteri pertama.

Disebabkan kepentingan tarikh tersebut, Kerajaan Negeri di bawah bekas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengisytiharkannya sebagai Hari Sarawak.

Hari Sarawak akan diraikan pada Sabtu ini. – Sarawakvoice