Tangani segera gejala bunuh diri kerana desakan peperiksaan — Abang Jo

0
5

KUCHING: Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini mahu peningkatan bilangan kes bunuh diri dalam kalangan pelajar, susulan tekanan dan desakan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan ditangani sesegera mungkin.

Ketua Menteri berkata, pihaknya memandang serius isu global tersebut dan mahu semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan agensi berkaitan lebih bertanggungjawab dan cekap.

“Mereka mesti dilatih secukupnya bagi menangani fenomena ini,” katanya ketika merasmikan Kongres Dunia ke-29 Persatuan Antarabangsa Untuk Pencegahan Bunuh Diri Sempena Persidangan Malaysia Ke-21 Perubatan Psikologi di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan dan bantuan dalam menjayakan matlamat ini.

“Saya juga mahu para akademik dan profesional menjalankan penyelidikan lanjutan untuk mengenal pasti tingkah laku bunuh diri di Sarawak.

“Ini untuk memberi kita gambaran yang lebih jelas tentang masalah tersebut di negeri ini, selain menyediakan formula terbaik untuk mengurusnya,” katanya.

Rekod kesihatan global menunjukkan bahawa lebih 800 ribu orang mati setiap tahun akibat tragedi bunuh diri.

Dan secara psikologinya, bagi setiap kes, ia akan memberi kesan kepada lebih 20 orang yang lain dari kelompok keluarga dan rakan.

Dalam konteks Sarawak, kata Abang Johari, laporan media membuktikan bahawa kes bunuh diri telah menjadi salah satu kebimbangan awam, yang memerlukan tindakan bersepadu semua pihak untuk menanganinya.

“Kerana itu saya melihat tema kongres ‘Mencegah Bunuh Diri: Komitmen global, dari masyarakat ke benua’ adalah tepat.

“Kita amat prihatin akan impak gangguan mental yang menyebabkan kemurungan, kecelaruan, dan ketagihan alkohol serta dadah.

“Kesemua ini merupakan penyumbang utama untuk kes bunuh diri ini,” tambahnya lagi.

Jelasnya, data terkini Suruhanjaya Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan hampir 30 peratus penduduk Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

“Oleh itu, amat penting untuk mengenal pasti kes-kes ini dan menyediakan rawatan yang sesuai di peringkat awal.

Abang Johari berkata, beliau berharap para penjaga mangsa akan bertindak balas segera, dengan memastikan setiap mangsa mendapat rawatan awal.

“Oleh itu, latihan yang mencukupi adalah perlu untuk membolehkan guru dan pengamal am yang terlibat melakukan pengesanan awal,” katanya.

Selain sebagai masalah peribadi, penyakit mental juga mempengaruhi fungsi dan produktiviti sosial dan pekerjaan.

Ia bukan sahaja menyebabkan rasa sakit emosi kepada penghidap dan pengasuh, tetapi juga mengakibatkan kerugian ekonomi yang mungkin berjumlah berjuta-juta ringgit.

“Oleh itu, saya ingin memberi perhatian kepada program-program pencegahan, yang bukan sahaja mampu meningkatkan kesihatan mental, malah mengurangkan tingkah laku bunuh diri, yang amat mengganggu rancangan pembangunan negara,” katanya lagi. – Sarawakvoice