Polis Kuching umum tutup 4 laluan pada Sabtu ini untuk sambutan Hari Sarawak

0
2

KUCHING: Polis Kuching hari ini mengumumkan penutupan empat laluan jalan sempena sambutan Hari Sarawak pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, penutupan jalan bermula jam 7.00 hingga 11.30 pagi itu melibatkan Jalan Market ke Jalan Power, Jalan Khoo Hun Yeang ke Jalan Power, Jalan Main Bazaar ke OUB Bank dan Jalan Gambier.

“Orang awam yang ingin menyaksikan sambutan Hari Sarawak dinasihat untuk meletakkan kenderaan di kawasan yang telah ditetapkan iaitu sekitar Taman Budaya, Green Hill, Bangunan Saujana, Medan Letak Kereta Top Spot, Medan Letak Kereta Sarawak Plaza, Dewan Suarah, sepanjang Jalan Main Bazaar, sepanjang Jalan P.Ramlee dan tempat letak kereta Poliklinik.

Orang awam juga dinasihatkan supaya mengikuti tanda-tanda isyarat kawalan lalu lintas yang diarahkan oleh pegawai polis yang bertugas.

Secara tegas, semua pihak dilarang meletak kenderaan di bahu jalan yang berdekatan lokasi sambutan kerana boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Dijangka lebih 1500 orang yang akan terlibat dalam sambutan ini.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dijangka hadir untuk merasmikan majlis. – Sarawakvoice