KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini tidak menolak kemungkinan jangkitan virus rabies di Serian berasal dari Kalimantan yang bersempadan dengan Sarawak.

Jarak Kalimantan dengan sesetengah kampung Bidayuh di Serian hanya sekitar 90km, termasuk kampung Paon Sungai Rimu yang sebelum ini diisytiharkan  diserang virus berkenaan.

Sempadan Kalimantan terletak kira-kira sejam menaiki kenderaan melalui jalan tidak berturap.

Para penduduk yang ditemui media berkata, anjing tempatan berkelahi dengan anjing milik pekerja di ladang Indonesia beberapa bulan lalu.

Anjing tempatan itu kemudiannya berkelahi dengan anjing di kampung terbabit, dan jatuh sakit.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hasil ujian Unit Virologi di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan virus di Serian mempunyai persamaan paling tinggi dengan jujukan genom strain virus rabies yang berasal dari Kalimantan dan Sulawesi.

“Sebanyak 368 kes gigitan haiwan telah dikesan di kawasan wabak Daerah Serian dan telah diberikan rawatan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Katanya,  Activate Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan terbabit oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

“Aktiviti ini dilaksanakan di 136 penempatan, 9,830 rumah dan 37,285 orang telah ditemu duga bagi sejarah gigitan anjing,” katanya lagi.

Bagi masyarakat Bidayuh, anjing merupakan teman mereka ke kebun dan berburu, selain untuk menjaga rumah. – Sarawakvoice