Sunday, September 25, 2022

Kerugian forex: Suruhanjaya Siasatan selesaikan tugas dalam 3 bulan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri, memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mempersetujui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia Sekitar Tahun 1990-an.

Kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri menyatakan tujuan penubuhan Suruhanjaya Siasatan itu adalah untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an.

Kenyataan itu menyatakan, siasatan perlu dilakukan untuk menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

“Dengan menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan,” jelas kenyataan rasmi tersebut.

Kenyataan itu menjelaskan, Suruhanjaya perlu menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

Pejabat Perdana Menteri juga mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya ini akan menyelesaikan siasatan dalam tempoh tiga bulan mulai kuat kuasa penubuhannya dan akan menyembahkan laporannya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu menyatakan, pelantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Pengerusi dan Tan Sri Saw Choo Boon sebagai Ahli Suruhanjaya ini adalah bagi mewujudkan kesinambungan memandangkan mereka telah menganggotai Pasukan Petugas Khas mengenai perkara yang sama sebelum ini.

Bagi keanggotaan ahli-ahli yang lain adalah mengambil kira kelayakan dan pengalaman dalam bidang-bidang yang berkait rapat dengan siasatan yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru