Taiping pula diserang wabak rabies, dua kanak-kanak digigit pada 4 Julai lalu

0
5

TAIPING: Bukan lagi di Sarawak, terkini dua kanak-kanak di Kuala Sepetang di sini menjadi mangsa gigitan anjing yang dijangkiti rabies.

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar,
Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam memberitahu, Jabatan Veterinar Perak telah menerima aduan pada 13 Julai daripada seorang pemilik haiwan yang memaklumkan seekor anjing miliknya  mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudara perempuannya.

“Siasatan lanjut pada 14 Julai dilakukan oleh pihak kita dengan pergi ke tempat kejadian untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan kes tersebut.

“Pengambilan sampel karkas anjing dilakukan sebelum dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh.

Katanya, siasatan awal mendapati anjing berumur dua tahun tersebut telah dipelihara sejak kecil oleh pemilik.

“Pada 4 Julai, ia telah menggigit anak saudara perempuan pemilik berusia 12 tahun sebelum menggigit anak perempuannya yang berusia 11 tahun.

Kedua-dua mangsa gigitan katanya, telah dibawa ke Pusat Kesihatan Kuala Sepetang untuk cucian luka dan suntikan tetanus.

“Kedua-dua mangsa kemudian telah dimasukkan ke Hospital Taiping dan masih berada di hospital bagi menunggu pengesahan Jabatan Veterinar sebelum memulakan suntikan vaksin.

Kata Dr Quaza, selepas lima hari menggigit mangsa, anjing tersebut didapati menunjukkan tanda klinikal seperti tiada selera makan dan mengasingkan diri.

“Ia seterusnya muntah, demam serta mengalami kekejangan di kedua-dua kaki hadapan dan kaki belakang.

“Pemilik anjing kemudian membawa anjing berkenaan ke klinik haiwan swasta untuk dirawat pada 11 Julai sebelum mati pada 12 Julai.

Pemeriksaan fizikal yang dilakukan ke atas karkas kemudian mendapati terdapat kesan luka gigitan pada bahagian zakar anjing dan Pihak VRI kemudian mengesahkan bahawa sampel otak adalah positif virus Rabies melalui ujian FAT(Fluorescent-Antibody Test )dan PCR(Polymerase chain reaction) pada 15
Julai.

Katanya, kemungkinan jangkitan Rabies pada anjing ini adalah melalui gigitan ‘rabid dog’ yang dibawa di dalam bot oleh warga asing dari negara jiran.

Kawasan Kuala Sepetang merupakan kawasan pelabuhan pendaratan ikan dan mempunyai banyak rumah nelayan.

Pemilik anjing juga memaklumkan pada bulan Januari lalu terdapat beberapa
kes kematian anjing tidak bertuan dan anjing peliharaan dengan tanda-
tanda mata berair, hidung berhingus dan hypersalivation.

Namun ketika itu tiada sebarang kes gigitan anjing yang berlaku kepada manusia.

Diannggarkan populasi anjing bertuan di kawasan Kuala Sepetang adalah sekitar 120 ekor manakala anjing liar sebanyak 50 ekor.

“Tindakan kawalan penyakit Rabies dilaksanakan mulai hari ini dengan
pemvaksinan anjing-anjing bertuan dalam lingkungan 1km radius yang tidak
menunjukkan tanda klinikal penyakit.

“Proses memusnahkan anjing yang menunjukkan tanda klinikal penyakit jugq dilakukan sambil mengambil sampel
kepala anjing.

Survelan penyakit pula akan dilaksanakan dalam lingkungan 10km radius dari lokasi jangkitan manakala operasi pemusnahan anjing tidak bertuan dilaksanakan bersama dengan pihak berkuasa tempatan. – Sarawakvoice