PASIR SALAK: Tiada keperluan untuk melaksanakan tindakan kuarantin di beberapa kampung di daerah Serian, Sarawak yang terjejas akibat virus penyakit anjing gila atau rabies pada masa ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan terburu-buru bagi mencegah penularan wabak itu dikhuatiri akan menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial penduduk di kawasan berkenaan.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

“Tindakan kuarantin hanya menjadi opsyen jika ia terlalu serius tetapi kita perlu fikir pro dan kontra sebelum mengambil tindakan tersebut.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) sedang giat melaksanakan pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan wabak berkenaan tidak terus menular ke kawasan lain,” katanya selepas Majlis Jamuan Aidilfitri Parlimen Pasir Salak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Degong malam tadi.

Tajuddin berkata, beliau akan merujuk kepada JPVS dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan perkembangan terkini seterusnya mengadakan perbincangan mengenai tindakan pencegahan yang lebih efektif.

JPVS katanya, telah melakukan pelbagai langkah pencegahan terbaik seperti memperluas radius suntikan dan akan menambah jumlah vaksin anjing dan kucing mengikut keperluan semasa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan sehingga petang semalam, JPVS telah memvaksinkan 3,785 ekor haiwan peliharaan berbanding 2,801 ekor pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 952 ekor anjing, 2,810 kucing dan 23 haiwan lain.

Sejak 1 April hingga 15 Julai, aktiviti pengesanan kes secara aktif berjaya mengesan sebanyak 290 kes gigitan anjing, 66 daripadanya merupakan kes gigitan baharu dari tempoh 2 Julai hingga semalam.

Sebanyak 14 kes gigitan anjing baharu dikesan semalam dan sebanyak 229 kes telah diberi vaksin.

Tujuh buah kampung iaitu Kampung Paon Sungai Rimu, Kampung Paon Sungai Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Krait, Kampung Saroban dan Kampung Tangga di daerah Serian diisytihar sebagai kawasan wabak rabies sehingga Khamis lepas. – Sarawakvoice