SERIAN: Tiada kes baharu berkaitan rabies dicatatkan hari ini, namun pasukan kesihatan terus aktif membanteras wabak ini termasuk mengesan kes-kes yang belum datang ke Hospital Serian untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri berkata, bermula sejak 1 April lalu, pengesanan kes secara aktif telah berjaya mengesan sebanyak 263 kes gigitan anjing dalam kawasan 10 kilometer dari pusat kawasan wabak di Bahagian Serian.

“Sebanyak 52 daripada 263 kes gigitan merupakan kes gigitan baru dari 2 Julai sehingga 14 Julai 2017.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 197 kes telah diberikan vaksin.

Katanya, memandangkan masih terdapat kes gigitan baru, masyarakat diseru supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran.

“Masyarakat juga diminta untuk menghindarkan diri daripada digigit anjing/ haiwan liar.

Kata sekretariat itu lagi, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah memvaksinkan 2,801 ekor haiwan peliharaan.

“Daripada jumlah tersebut , 687 ekor anjing, 2,091 kucing dan 23 haiwan lain.

JPVS juga katanya, telah mengadakan sebanyak 64 kempen kesedaran mengenai wabak Rabies ini di kawasan yang terlibat yang dihadiri oleh 4,110 orang penduduk kampung.

“Pada hari ini, pasukan vaksinasi  telah menjalankan pemvaksinan enam kampung iaitu di Kampung Tangga, Kampung Ranchan, Kampung Koran, Kampung Mentung Berawan/Silaga, Kampung Sumpas, dan Kampung Engkabang.

Pihak JPVS bersama-sama Persatuan Veterinar Sarawak katanya, juga akan mengadakan kempen pemvaksinan di bandar Serian untuk anjing di taman-taman perumahan dan kampung berdekatan pada hari Sabtu dan Ahad ini, bermula jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang di Balai Babuk Gawing, Dewan Masyarakat Serian, Pejabat Veterinar Serian, dan Majlis Daerah Serian.

“Semua pemilik haiwan peliharaan di Bandar Serian terutama di taman perumahan dan kampung yang berdekatan sahaja adalah diwajibkan untuk datang ke tempat-tempat di mana pemvaksinan haiwan akan diadakan.” – Sarawakvoice