Pas anggap pemecatan Anwar sebagai TPM oleh Mahathir pada 1998 satu konspirasi politik

KOTA BHARU:  Selagi tiada pembuktian dakwaan  secara syarie terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pas menganggap beliau sebagai menjadi mangsa konspirasi politik.

Itulah sebabnya, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sejak dahulu lagi Pas bersikap konsisten menuntut  Anwar dibicara di mahkamah syariah kerana hukum syarak menuntut pembuktian yang jelas terhadap segala tuduhan  terhadap pihak yang didakwa.

“Pas sejak awal lagi meminta isu-isu yang berkaitan syarak perlu dikembalikan kepada mahkamah syariah. Ini kita harapkan,” katanya kepada media di sini semalam.

Anwar  dipecat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2 September 1998  atas dakwaan rasuah dan liwat.

Namun sesetengah pihak  menyifatkan pemecatan itu sebagai konspirasi politik.

Pemecatan itu kemudiannya mencetuskan konflik politik yang membawa kepada tunjuk perasaan besar-besaran terhadap Mahathir di ibu negara.

Mahathir diberi pelbagai label termasuk mahafiraun dan mahazalim ketika itu oleh penyokong Anwar.

Pada awal kerjaya politiknya, Anwar merupakan anak didik Mahathir, namun kemudiannya menjadi pengkritik lantang.

Ketika itu Mahathir berkata, Anwar dipecat kerana melakukan perbuatan tidak bermoral yang tidak layak dilakukan pemimpin negara.

Kemudian beliau didapati bersalah oleh mahkamah atas dakwaan kes liwat.  

Kemudian, sekali lagi Anwar dihukum penjara selama lima tahun atas kesalahan dakwaan liwat  dengan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Kata Tuan Ibrahim, Anwar diakui menjadi mangsa politik di mana beliau dipecatkan daripada kerajaan dan ditumbuk sehingga lebam mata oleh Ketua Polis Negara ketika itu.

“Bagi saya kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Anwar menjadi mangsa politik sebenarnya Pas sudah lama memperkatakan mengenainya.

“Dan akhir-akhirnya selepas tiada tokoh lain maka Pakatan Harapan cuba hendak menaikkan semula Anwar. Sebenarnya kemelut itu berlaku pada Pakatan Harapan,” katanya.

Beberapa bulan lalu, Mahathir telah berjumpa dengan Anwar di mahkamah dalam episod yang mengejutkan banyak pihak.

Jika sebelumnya, bekas Perdana Menteri itu menganggap Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri, namun beliau mulai mengubah pendiriannya baru-baru ini ketika ditemu bual sebuah media yang berpangkalan di London. – Sarawakvoice