Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membuka pentas perdebatan yang menarik kepada saya.

Khairy menyarankan agar ‘tiga tokoh wajar meninggalkan pentas politik tanah air kerana mereka akan terus memecahbelahkan rakyat selagi berkecimpung dalam arena itu’.

Kenyataan yang dibuat pada sidang media selepas beliau merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju pada Ahad 9 Julai 2017 itu jelas ditujukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Seperti dijangka, sebagai sifat orang muda yang sentiasa membela ketua-ketua mereka, Ketua Pemuda parti-parti pembangkang seperti PKR dan PPBM terus mencabar Khairy berdebat untuk menentukan pemimpin parti mana yang sepatutnya meninggalkan arena politik.

Saya berpendapat cadangan Khairy itu tidak lebih daripada sekadar retorik politik. Perlembagaan Persekutuan dan Negeri di Malaysia tidak mengehadkan umur persaraan kepada mana-mana ahli politik untuk bertanding dalam pilihan raya, memegang jawatan dalam parti (seperti Ketua Bahagian, Setiausaha Agung dan Presiden) dan memegang jawatan kerajaan seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar

Sebab itulah kenapa Malaysia pernah ada PM yang memerintah sampai 22 tahun dan Ketua Menteri yang mentadbir negeri selama 33 tahun (1981-2014)!

Jika undang-undang tidak menyebut apa-apa berkenaan perkara tersebut, apa-apa alasan munasabah yang boleh diterima dan dipatuhi oleh semua pihak?

Di negara demokrasi barat seperti Amerika Syarikat misalnya, terdapat undang-undang yang jelas meletakkan had kepada seseorang presiden dan ahli-ahli kongres serta senat kepada dua penggal sahaja.

Di kebanyakan negara demokrasi barat, ahli kongres atau parlimen tidak sebagai satu kerjaya. Di negara kita, oleh kerana tiada undang-undang sedemikian, ada ahli parlimen yang bertanding semenjak PRU tahun 1969 sehingga sekarang! Seorang di Gua Musang dan seorang lagi pula suka berpindah-randah, dari Kota Melaka, Ipoh Timur, Tanjong, kembali semula ke Ipoh Timur dan semasa PRU-13 yang lalu, spesies itu berpindah pula ke Gelang Patah.

Kita mungkin bertanya apa perlunya ahli politik yang aktif semenjak zaman Tengku Abdul Rahman lagi masih terus menjadi ahli parlimen sehingga sekarang? Cukuplah, berilah peluang kepada orang lain pulak. Janganlah jadikan ahli parlimen sebagai karier. Tetapi itulah kecacatan sistem politik negara kita.

Amalan demokrasi yang progresif  lazimnya memberi peluang kepada rakyat di sesuatu konstituensi untuk menjadi ahli parlimen atau kongres. Dalam sistem kita, kalau kita lahir di Gua Musang dan menjadi Timbalan Ketua Bahagian UMNO Gua Musang atau Naib Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, peluang untuk menjadi ahli parlimen tertutup rapat sama sekali selagi ahli parlimen yang ada sekarang mahu terus bertanding!

Itu belum lagi kita bicara mengenai peluang untuk menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri!

Jangan keliru dengan soal umur. Umur sepatutnya tidak menjadi halangan untuk menyertai politik, memegang jawatan parti dan dalam kerajaan. Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Donald Trump menjadi presiden pada usia 71 tahun.

Yang wajib diberikan perhatian ialah tempoh atau penggal seseorang itu layak menyandang jawatan dalam parti dan kerajaan. Berapa penggal sepatut boleh diberikan kepada seseorang pemimpin untuk PM, Menteri Besar atau Ketua Menteri, Setiausaha Agung Parti, Presiden Parti, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Siapa yang harus mengambil tindakan untuk memastikan undang-undang berhubung perkara ini diperkenalkan dan dilaksanakan di negara kita? Apa peranan yang sepatutnya dimainkan oleh parti, parlimen dan Pendaftar Pertubuhan dan kita sebagai pengundi dalam perkara ini?

Inilah perkara yang lebih substantif jika kita mahu bercakap mengenai pembaikan dalam proses demokrasi dan amalan elektoral di Malaysia. – Sarawakvoice