MIRI: Daerah Subis kini ditukar nama kepada Daerah Sibuti, umum Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg malam tadi.

Pertukaran nama ini katanya, selari dengan naik taraf daerah-daerah kecil di negeri ini, dengan pekan Bekenu kini berstatus daerah kecil.

“Ia juga sebahagian daripada Pelan Induk Pembangunan Miri, termasuk kawasan suburban, yang akan kita bangunkan sebagai destinasi pelancongan,”  katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2017, anjuran Gabungan 5 Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miri iaitu Bekenu, Lambir, Piasau, Pujut dan Senadin di Hotel Pullman di sini.

Kata Ketua Menteri lagi, bagi memenuhi pelan tersebut, di Bekenu telah diluluskan pembinaan jambatan bernilai RM24 juta, manakala RM5 juta diperuntuk untuk membangunkan Tusan, yang terkenal dengan ombak biru.

“Turut dibangunkan ialah Bakam Point yang bernilai RM5 juta, selain Wireles Walk di Kampung Wireless.

“Sementara di CIQ Sungai Tujuh pula, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.5 juta untuk naik taraf kemudahan di pusat itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat.

Katanya, jika sebelum ini banyak rungutan terhadap industri minyak di Miri, Sarawak kini telah memiliki syarikat petroleum sendiri, Petroleum Sarawak (Petros), yang dimiliki sepenuhnya anak Sarawak.

Petronas akan bersama-sama Petros menjayakan industri huluan minyak dan gas.

“Kalau Petronas boleh, takkan orang Sarawak tak boleh?

“Kita ada banyak jurutera…banyak yang kerja dengan Petronas,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, Abang Jo turut meluluskan peruntukan RM3 juta untuk membina sebuah stadium terbuka di suburban Miri.

“Stadium ini akan memiliki balapan, padang bola sepak dan pentas, sama seperti spesifikasi yang ada di Lawas, Limbang dan Betong.

“Kita akan bina stadium ini pada tahun depan,” katanya lagi yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

Sebelum itu, sewaktu menyuarakan permohonan stadium tersebut, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata, tapak untuk stadium tersebut telah ada, dan tanah terbabit telah dibayar premium.

“Kita hanya mohon kerajaan cepatkan peruntukan agar tempat untuk anak-anak di kawasan ini bermain dan bersukan dapat dibangunkan segera.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. – Sarawakvoice