KUCHING: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebentar tadi mengesahkan bahawa kes terbaharu rabies telah dicatatkan dari Kampung Ampungan, Serian.

Dengan pengesahan kes ini, jumlah kes rabies di Sarawak sehingga 11 Julai adalah sebanyak empat kes yang disahkan melalui ujian makmal.

“Kesemua kes adalah dari daerah Serian dan aktiviti kawalan dan pencegahan telah dan sedang dilaksanakan.

Kes keempat ini kata Dr Noor Hisham, merupakan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang mempunyai sejarah gigitan anjing pada 27 Mei di Kampung Saroban, iaitu terletak dalam radius 10km dari kampung di mana kes ketiga rabies berlaku.

Pada 3 Julai, kes tersebut mengalami gejala demam, sakit di lengan kiri serta kelihatan kurang aktif sebelum dibawa untuk rawatan ke Hospital Serian.

Pada 4 Julai, kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (SGH) dan dipindahkan ke Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) SGH kerana semakin kritikal.

Kes ini telah disahkan mengalami jangkitan rabies melalui ujian makmal pada 11 Julai. Bagi kes ketiga rabies pula, beliau masih dirawat di wad PICU SGH dan dalam keadaan kritikal.

“Active Case Detection (ACD) bagi mengesan kes gigitan anjing telah dilaksanakan di kawasan kejadian wabak rabies di daerah Serian oleh Pejabat Kesihatan Serian bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

Aktiviti ini dilaksanakan di 86 penempatan, 3,284 rumah dan 7,583 orang telah ditemuduga bagi sejarah gigitan anjing.

Sebanyak 192 kes gigitan anjing telah dikesan di kawasan wabak daerah Serian dan telah diberikan rawatan.

Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk di kawasan berkenaan, katanya. – Sarawakvoice