KUCHING: Serian Intown yang berlangsung di pasar Serian bakal kembali dengan tema Pentas Gawai Raya yang berlangsung pada 14 hingga 16 Julai ini.

Perasmian Serian Intown yang bertemakan Pentas Gawai Raya dijangka disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot.

Serian Intown yang dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Gabungan Amal PER3 Serian (PER3) dengan kerjasama Majlis Daerah Serian, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak (KUBSB) dan GAB30.

Meskipun baharu lima bulan beroperasi Serian Intown mendapat sambutan mengalakkan daripada peniaga dan pengunjung sekitar Serian, Tebedu, Kota Samarahan,  Simunjan, Sri Aman dan Kuching.

TARIKAN… Serian Intown menjadi tarikan ribuan pengunjung.

Bazar jualan Serian Intown telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus pada April lalu.

Pengerusi Serian Intown yang juga Pengerusi PER3 Serian, Safwan Mahri berkata, penganjuran Serian Intown membantu kerajaan tempatan mempromosi Daerah Serian dari segi pelancongan.

“Kerjasama semua pihak menjadikan bandar Serian lebih meriah lagi dengan adanya Serian Intown. Ia bersesuaian dengan tema ‘Serian – Bandar Persingahan dan Ceria’.

“Kami menghargai sumbangan diberikan semua pihak terutama penasihat Serian Intown, Awang Riduan yang banyak memberi nasihat penganjuran.

“Turut memberi sumbangan ADUN Bukit Semuja, John Ilus dan Dato Sri  Mohammad Ali Mahmud dan beberapa orang kenamaan di Serian,” katanya.

Beliau berkata, selain perbagai aktiviti jualan dan promosi, Serian Intown menyediakan taman mainan dan pelbagai program termasuk konsert dari penyanyi tempatan dan luar.

Beliau berkata, lebih 60 usahawan menyertai Serian Intown.

Orang ramai yang berminat untuk mendapat keterangan lanjut dan berniaga boleh menghubungi 013 572 5858 (Safwan). – Sarawakvoice

RASMI… Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus merasmikan Serian Intown.