MIRI: Benarkah apabila ikan naga muncul, akan berlakunya malapetaka?

Di jeti Kampung Nelayan Bakam muncul Oarfish atau nama lainnya Raja Ikan Haring dengan nama saintifiknya Regalecus Glesne, ikan aneh mirip naga dikenali sebagai ikan naga di kalangan penduduk tempatan.

Ikan sepanjang 1.3 meter, seberat 2.8 kilogram penghuni dasar laut pada kedalaman 300 hingga 1,000 meter itu dibawa pulang sekumpulan nelayan apabila ikan tersebut tersangkut pada pukat mereka awal pagi Selasa.

Kepercayaan masyarakat setempat berasaskan habibat ikan tersebut di laut dalam, jadi ia akan keluar apabila timbul situasi luar biasa di dasar yang antaranya berlaku gempa bumi.

Justeru, malapetaka yang dimaksudkan mungkin merujuk kepada amaran berlakunya tsunami.

Tidak sekadar di Miri, di pantai utara di Kota Cagayan de Oro di Mindanao awal Februari lepas, apabila ikan naga sepanjang 4.5 meter muncul, penduduk setempat sempat kaget kerana percaya malapetaka bakal muncul.

Kebetulan, dua hari sebelum itu berlaku gempa bumi 6.7 pada Skala Richter di Pulau Mindanao.

Netizen Filipina turut berkomentar perihal khuatir dengan kemunculan oarfish tersebut.

Ada yang memberi contoh penemuan 20 oarfish di Jepun diikuti kemudiannya goncangan gempa besar di negara berkenaan.

Sebelum ini, ahli seismologi ekologi Jepun, Wiyoshi Wadatsumi mengiakan bahawa kemunculan ikan yang dikenali sebagai “ikan pembawa pesanan dari istana dewa itu” memiliki hubungan dengan aktiviti dari dalam bumi.

Dari segi sains, oarfish merupakan ikan bertulang terpanjang di dunia boleh mencecah 17 meter dan mampu membesar sehingga 270 kilogram.

Diet Oarfosh ialah plankton kecil.

Meski bentuknya menyeramkan oarfish tidak berbahaya kepada manusia, bahkan yang pernah memakan ikan ini mengakui isi oarfish lembik dan liat melekit.

Menurut akhbar tempatan, Ketua Cawangan Jabatan Perikanan Malaysia Bahagian Miri Buniamin Kiprawi berkata, kemunculan ikan naga tersebut bukan petanda berlaku bencana.

Menurut beliau, sebahagian hidupan laut muncul ia mungkin disebabkan berlaku perubahan cuaca atau persekitaran di dasar laut.

Sebelum ini pada 2015, penduduk turut digemparkan dengan ikan naga empat meter, seberat sekitar 20 kilogram terdampar di kawasan pantai Pulau Lima di Pulau Redang.

Oarfish itu ditemui mati dan dihanyutkkan ombak sehingga ke pulau terbabit.

Oarfish dipercayai hidup di Lautan Hindi dan kadang-kadang tersesat memasuki perairan Laut Cina Selatan.

Terdapat situasi, ia tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan keadaan air masin dan kepanasan air Laut China Selatan.

Zaman silam, pelaut lampau mempersepsikan ikan naga sebagai raksasa laut.

Pada 1860, ketika Oarfish sepanjang 5 meter terdampar di pantai Bermuda, para penduduk segera mengaitkannya dengan legenda raksasa laut. – Sarawakvoice