KUCHING: “Tidak perlu isytihar darurat. Ia kes terpencil, hanya melibatkan beberapa kawasan di Serian dan terkawal.”

Itu komen Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berhubung wabak anjing gila atau rabies yang kini melanda lima buah kampung di Serian.

Jawapan tersebut membuktikan Kerajaan Negeri masih mampu mengawal keadaan, dan tidak panik menghadapi situasi tersebut, biarpun telah mengorbankan dua nyawa setakat ini.

Kata Abang Johari lagi, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat malah memberi jaminan penularan wabak berkenaan sentiasa dipantau rapat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, yang turut melaksanakan langkah pencegahan.

“Pelbagai inisiatif sedang giat dijalankan secara bersepadu dan saya percaya jawatankuasa di bawah kepimpinan Datuk Amar Douglas (Uggah Embas) itu mampu menanganinya,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran Menunaikan Haji 2017 di sini.

Jelas Abang Johari, Kerajaan Sarawak memberi sokongan penuh terhadap usaha mengekang penularan wabak itu, malah turut memperuntuk RM100 ribu bagi menampung kos penyediaan vaksin yang diperlukan.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengisytiharkan lima kampung di Serian iaitu Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebur sebagai kawasan jangkitan wabak rabies.

Ketika ini katanya, Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa pelan tindakan yang mampu membendung penularan wabak tersebut.

“Kita masih meneliti inisiatif berkenaan bagi mengenal pasti kesesuaiannya, termasuk implikasi berkaitan sebelum pelan ini dilaksanakan,” katanya lagi.

Seramai 40 bakal haji daripada Bahagian Kuching dan Kota Samarahan menerima Surat Tawaran Menunaikan Fardhu Haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri Tahun 2017M / 1438H pada tahun ini.

Para bakal haji ini terdiri daripada Imam dan Pengerusi JKKK di kampung seluruh negara dan bagi negeri Sarawak, pemilihan telah dibuat merangkumi tiga zon iaitu Zon Selatan (Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong) berjumlah 68 orang, Zon Tengah (Sibu, Sarikei, Mukah dan Daro), 29 orang dan Zon Utara (Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas) berjumlah 23 orang.

Dalam amanat ringkasnya, Abang Johari menasihatkan bakal jemaah menjaga tata tertib sepanjang melaksanakan ibadah di Mekah dan memelihara nama baik negara.

Di samping itu beliau turut menyeru mereka supaya mengambil berat perihal kesihatan dan sentiasa mematuhi arahan daripada Lembaga Tabung Haji dari semasa ke semasa untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. – Sarawakvoice