KUALA LUMPUR: Gesaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu 1MDB amat dangkal sekali, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurut Puad, jika Tuan Ibrahim benar-benar mengikuti perkembangan isu 1MDB sejak mula, beliau akan mendapati bahawa kerajaan telah berjaya melaksanakan dua perkara utama dalam menangani isu 1MDB.

Pertama, katanya, kerajaan berjaya menstabilkan kedudukan kewangan syarikat dan menurunkan hutang 1MDB secara drastik melalui Pelan Rasionalisasi 1MDB.

Kedua, jelasnya, kerajaan telah membuktikan melalui semakan dan siasatan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang, bahawa dakwaan wang 1MDB lesap, dicuri dan diselewengkan adalah tidak benar sama sekali.

“Saya yakin Tuan Ibrahim tidak pernah membaca Laporan PAC setebal 106 muka surat apabila beliau mempersoalkan tentang status rahsia rasmi Laporan Audit berkaitan 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Jika beliau pernah membacanya beliau akan menyedari walaupun Laporan Audit berkaitan 1MDB ini diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi oleh Ketua Audit Negara sendiri pada bulan Januari 2016 (menurut kenyataan Ketua Audit Negara pada 26 Julai 2016), namun dapatan semakan dan kesimpulan oleh JAN ada dimasukkan ke dalam Laporan PAC sebagai rujukan,” tambahnya.

Puad berkata, sekiranya Tuan Ibrahim rajin, beliau juga boleh membaca hansard prosiding PAC melibatkan pelbagai pihak termasuk Juruaudit Deloitte, KPMG, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB untuk melihat sendiri samada prosiding dilaksanakan secara telus atau tidak.

Menurutnya, kesimpulan yang dibuat Tuan Ibrahim bahawa kegagalan penguatkuasa dalam negara membuka ruang kepada pihak luar membuat siasatan adalah sama sekali tidak benar.

Sebaliknya, ujarnya, ruang untuk pihak berkuasa asing ini dibuka oleh individu-individu yang membuat laporan dengan tujuan untuk memancing campur tangan pihak asing ini ke dalam konflik politik di dalam negara.

“Dan ini disokong sendiri oleh Presiden PAS Tuan Hj Abdul Hadi Awang,” jelasnya.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim mempertikaikan keputusan Peguam Negara Tan Sri Appandi Ali kerana tidak membuat pendakwaan ke atas 1MDB selepas menerima laporan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan soal pemindahan dana ke luar negara.

“Hakikatnya, Tuan Ibrahim tidak membaca justifikasi yang dinyatakan oleh Peguam Negara pada 13 Oktober 2015 bahawa pendakwaan tidak dapat dibuat kerana BNM sendiri yang memberi kebenaran kepada 1MDB sebanyak tiga kali pada 29 september 2009, 6 September 2010 dan 20 Mei 2011 dan BNM sebagai pegawai pengawal tidak menghalang pemindahan terbabit,” kata Puad lagi.

“Kedangkalan Tuan Ibrahim juga terserlah apabila mempersoalkan kenapa siasatan domestik lebih lambat daripada siasatan di luar negara.

Apa yang tidak difahami oleh Tuan Ibrahim adalah siasatan pihak berkuasa tempatan adalah bagi mendapatkan bukti kesalahan melangkaui keraguan munasabah,” katanya.

Katanya lagi, Tuan Ibrahim sepatutnya sedar bahawa di AS, saman sivil pengambil alihan aset atau pelucutan sivil dikecam oleh rakyat AS sendiri sebagai suatu undang-undang yang zalim kerana memberi kuasa kepada agensi penguatkuasa AS merampas wang dan harta orang awam tanpa perlu membuat pendakwaan ke atas pemilik harta dan tanpa perlu membuktikan seseorang itu bersalah “melangkaui keraguan munasabah.”

Untuk itu, katanya, tidak wajar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat isu 1MDB semata-mata kerana ada pihak berkuasa asing seperti DoJ memfailkan saman sivil, lebih-lebih lagi jika ia baru di peringkat fail dan belum dibicarakan di mahkamah. – Sarawakvoice