Sikap kerajaan Sarawak tidak baik untuk negara, kata Amanah

Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mempersoalkan mengapa Kerajaan Negeri Sarawak mengambil tindakan untuk menghantar pasukan peguam ke London hanya selepas kemerdekaan negara selama enam dekad.

“Apa pendirian kerajaan Sarawak untuk PRU14 nanti?  dan  mengapa selepas 60 tahun merdeka baru mereka bersikap begini?

Ujarnya, tindakan Kerajaan Sarawak menghantar sepasukan peguam ke London berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) tidak baik untuk negara.

“Pada pendapat saya, apabila mereka bersikap sedemikian, ia merupakan tamparan besar bagi kita  dan sememangnya perkara ini tidak baik untuk negara,” katanya kepada pemberita di Wisma Amanah Negara, semalam, seperti dipetik media.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg Sabtu lalu mengumumkan akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung MA1963 bagi menentukan hak-hak sebenar negeri itu yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.

Pasukan peguam tersebut diketuai Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek dan  Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dijangka pasukan peguam berkenaan akan mengunjungi, antara lain Public Record Office di Richmond, London yang nmenyimpan sekitar 600,000 dokumen, termasuk dokumen penjajahan British di Sarawak dan juga Perjanjian Malaysia 1963.

Seorang pemerhati di sini mempersoalkan, apakah perlunya timbalan menteri dan peguam dihantar ke London untuk mencari dokumen dan fail yang berkaitan.

“Mereka tentu tidak akan menganalisis bahan berkenaan di London,” ujarnya.

“Mengapa tidak penyelidik dan sejarawan yang biasa dengan pencarian fail di arkib berkenaan turut dihantar ke London?” tanya seorang pensyarah di sini yang enggan disebut namanya.

Difahamkan, sebahagian daripada dokumen berkenaan juga sudah disimpan di Universiti Malaysia Sarawak dan di ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). – Sarawakvoice

TERKINI: Kerajaan Persekutuan “terbuka” dengan langkah Sarawak kaji dokumentasi MA1963 — Zahid