Monday, November 28, 2022

Kerajaan Persekutuan “terbuka” dengan langkah Sarawak kaji dokumentasi MA1963 — Zahid

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan tidak berhalangan, malah bersedia untuk berbincang hasil kajian yang akan diperoleh petugas khas perundangan Sarawak yang akan berkunjung ke London untuk menyemak dokumentasi Perjanjian Malaysia 1963.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjadi hak Kerajaan Sarawak dan Sabah untuk melihat aspek-aspek perundangan dan juga persefahaman sosial sehingga termaktubnya perjanjian berkenaan.

“Kita di peringkat Persekutuan berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk menerima semua maklum balas yang akan diperoleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui usaha yang dilakukan.

“Tidak ada isu yang tidak boleh dirungkai dan diselesaikan,” katanya semalam.

Tegasnya, pendirian Kerajaan Pusat sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa perkara-perkara yang boleh dirundingkan maka Kerajaan Persekutuan akan terus membuka pintu untuk mengadakan perundingan.

“Ini terutamanya apabila pemakluman diterima daripada beberapa dokumen yang diperoleh daripada penyelidikan yang dibuat oleh pasukan petugas ini.”

Sewaktu berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sibu minggu lalu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memberitahu Sarawak menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963.

Ia bertujuan untuk menentukan hak-hak sebenar negeri ini yang termaktub di bawah perjanjian tersebut.

Pasukan peguam berkenaan katanya, diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Abang Johari bagaimanapun tidak menyatakan bila dan tempoh masa pasukan berkenaan berada di London.

Perjanjian itu katanya, bukan sebarang perjanjian, justeru itu Sarawak mahu dapat fakta-fakta yang betul.

“Apabila kita hendak menuntut hak, kita mesti buat ‘homework’, kalau tidak, kita tembak (tuntut) sebarangan, susah,” jelasnya.

Kajian yang betul tegasnya, perlu dibuat untuk melihat mana-mana peruntukan yang harus dipertahankan. – Sarawakvoice

BERKAITAN: Sikap kerajaan Sarawak tidak baik untuk negara, kata Amanah

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru