Saturday, December 3, 2022

TPM ziarah jenazah bekas Menteri Muda Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini menziarahi jenazah bekas Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman di sini.

Ahmad Zahid yang diiringi Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg turut menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Masjid Negeri Sarawak Ustaz Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Allahyarham Daud, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, meninggal dunia di Pusat Perubatan Timberland (TMC) petang tadi akibat komplikasi jantung.

Kredit Foto Jiwa Bakti

Beliau berusia 66 tahun.

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita berkata beliau mengenali rapat Allahyarham Daud ketika menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam negara.

Beliau berkata mereka sering bertemu kerana tugas Allahyarham sebagai Menteri Muda yang menjaga hal ehwal Islam Sarawak.

“Beliau terkenal kerana memberi keutamaan kepada hal ehwal agama dan prihatin terhadap anak yatim serta pendidikan agama Islam. Saya doakan agar beliau mendapat rahmat Allah,” kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, Abang Johari berkata beliau mengenali Allahyarham Daud sejak di bangku sekolah lagi.

“Allahyarham seorang yang prihatin kepada masyarakat. Saya kenalnya sejak bangku sekolah sehinggalah beliau menjadi ADUN Tupong.

“Allahyarham banyak berjasa kepada rakyat, kita berdoa semoga beliau ditempatkan bersama orang yang soleh dan pejuang Islam,” katanya.

Allahyarham Daud berkhidmat sebagai ADUN Tupong selama lima penggal sejak 1991 sebelum mengundur diri dan tidak bertanding pada pilihan raya negeri 2016.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Noraini Hussin,64, seorang anak lelaki berusia 37 tahun serta dua anak perempuan berusia 31 dan 34.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gita pada 10 pagi esok. Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru