Keranda misteri ditemui di tapak pelupusan sampah di Saratok

0
6

SARATOK: Sebuah keranda misteri ditemui orang awam di kawasan tapak pelupusan sampah di sini semalam.

Penemuan keranda berkenaan yang turut tular di laman facebook mencuri perhatian ramai dan turut mengundang reaksi pelbagai daripada penduduk setempat.

Susulan daripada penemuan itu pihak polis di sini telah melakukan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut.

Walaubagaimanapun Mordani dalam kenyataannya memberitahu tidak ada mayat ditemui di dalam keranda tersebut bukan seperti yang digembar-gemburkan dalam laman sosial.

Katanya, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam pagi kelmarin berhubung penemuan itu dan terus bergerak ke tempat tersebut untuk membuat siasatan.

“Pemeriksaan polis mendapati tiada mayat di dalam keranda itu dan hanya terdapat kain-kain buruk sahaja,”ujarnya.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama penduduk di Saratok tidak merasa bimbang dengan penemuan tersebut.

Beliau juga menjelaskan siasatan polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Bagaimanapun beliau memberitahu pihak polis kini masih menunggu laporan dan aduan daripada penduduk setempat sekiranya ada terjadi kawasan tanah perkuburan diceroboh. – Sarawakvoice