KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumum menambah sumbangan Kerajaan Negeri kepada sekolah aliran Cina di Sarawak sehingga RM6 juta untuk tahun ini.

Jumlah itu bertambah RM1 juta berbanding RM5 juta berbanding tahun lepas.

Bercakap pada Majlis Ulang Tahun Ke-58 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching pada Ahad, Abang Johari berkata beliau mencari formula baharu bagaimana membolehkan sekolah Cina sentiasa mendapat pendapatan bagi perbelanjaan operasinya.

Abang Johari menunaikan janji Allahyarham Tan Sri Adenan sebelum ini, mengumum memberi bantuan kewangan kepada sekolah Cina di Sarawak.

Sebelum pemergian Adenan, beliau pernah berjanji sekiranya diberi mandat menerajui Sarawak, bantuan untuk sekolah Cina bertambah RM6 juta tahun berikutnya dan lebih besar lagi sehingga RM10 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.

Allahyarham Adenan mengungkap janji tersebut pada majlis penyerahan geran RM5 juta di Bintulu pada Mac 2016.

Abang Johari pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri dan jawatankuasa perhubungan Parlimen Sibuti sebelum ini berkata, “selagi saya Ketua Menteri Sarawak, saya akan menyokong sekolah Cina di Sarawak dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC),” katanya.

UEC membolehkan pemegangnya memohon jawatan dalam perkhidmatan awam dan badan berkanun di Sarawak.

Pada zaman Adenan, pemegang UEC yang mendapat tempat di mana-mana universiti diiktiraf di Malaysia boleh memohon biasiswa Yayasan Sarawak.

Pemegang UEC dengan lulus peringkat SPM tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU) turut layak melanjut pengajian terus ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Sarawak.

Selain Sarawak, kerajaan Pulau Pinang turut mengiktiraf sijil ini.

Abang Johari menyifatkan sumbangan diberikan kerana sekolah Cina di Sarawak bukan eksklusif untuk masyarakat Cina semata-mata, sebaliknya pelbagai kaum termasuk Bumiputera turut menuntut ini di sekolah Cina.

Setakat ini, 60 hingga 80 peratus pelajar terdiri daripada Melayu, Dayak dan Bumiputera lain belajar di sekolah aliran Cina di Sarawak.

Sebelum ini, kerajaan Negeri memperuntukkan 2,000 ekar tanah untuk dibangunkan bagi menjana pendapatan bagi keperluan sekolah Cina.

Pada 2016 Adenan menyerahkan geran RM5 juta kepada lembaga pengurusan sekolah Cina.

Sementara, Adenan pernah memberi bantuan kepada sekolah Cina sebelum ini iaitu RM4 juta pada 2015 dan RM3 juta pada 2014.

Pada majlis SUPP tersebut Abang Johari turut berkata, beliau mahu kawasan kediaman majoriti kaum Cina di pusat bandar raya ini dibangunkan semula sama seperti kawasan majoriti kaum Melayu di seberang sungai.

Beliau menyokong kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian membangunkan semula perumahan terbabit di sekitar Jalan Ban Hock di Kuching.

Sementara, Presiden SUPP Dr Sim pada majlis tersebut turut berkata SUPP mahu menubuhkan SUPP Cawangan Satok sebagai cawangan terbaharu di bandar raya ini tidak lama lagi bagi membolehkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok yang diwakili Ketua Menteri terus dikuasai Barisan Nasional. – Sarawakvoice