Seperti misteri MH370, peguam tuntutan saman turut hilang misteri!

KUALA LUMPUR: Pelanggan yang juga waris mangsa Tragedi MH370 sebal dan kecewa apabila peguam dari Chicago Monica Ribbeck Kelly menubuhkan Ribbeck Law Chartered bersama abangnya Manuel Von Ribbeck, kini menghilangkan diri entah ke mana.

Monica memfailkan saman kepada Boeing dan Malaysian Airlines selepas MH370 penerbangan Kuala Lumpur-Beijing membawa 239 penumpang dan krew hilang pada 8 Mac 2014 dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

Radar utama dan data pengesanan satelit automatik menunjukkan MH370 dalam jalur Malaysia selama 40 minit sebelum melencong arah menuju laluan panjang ke selatan Lautan Hindi.

Sebelum ini, peguam Edward Clinton memfailkan saman amalan salah terhadap Monica berkata yang Ribbeck Law menutup talian telefon dan laman sesawangnya dan mendakwa Monica kembali ke Lima, Peru pada 2016.

“Firma itu tidak kelihatan mempunyai pejabat sebenar. Dia mempunyai masa lampau, pola tingkah lakunya bukanlah baik,” ujar Clinton mengulas berkaitan Monica dan firmanya Ribbeck Law.

Forbes melaporkan pada Khamis lepas, ketika Tragedi MH370 memuncak, Monica terbang ke Beijing bersama peguam Shanghai, William Wang.

Mereka meyakinkan ramai ahli keluarga mangsa agar melantik firmanya menyaman Boeing dan Malaysian Airlines di Amerika Syarikat.

Monica dan Wang memberitahu waris mangsa MH370 bahawa mereka berupaya memiliki wang jutaan dolar dalam tuntutan undang-undang tersebut dengan syarat menandatangani dokumen tuntutan.

Melalui saman tersebut, mereka menjanjikan tuntutan kewangan lumayan.

Monica memfailkan petisyen kes di Mahkamah Tinggi Cook County bagi pihak keluarga mangsa MH370.

Namun, mahkamah membuang kes tersebut kerana ia diajukan secara sembrono.

Bagaimanapun, dalam kenyataan Clinton yang menyaman Ribbeck Law mendakwa, Monica tidak pernah memfailkan kes itu di mahkamah.

Forbes melaporkan, ramai klien Monica kecewa, rasa tertipu dan mempertikaikan sistem kehakiman Amerika Syarikat (AS).

Clinton berkata Monica melakukan 100 peratus amalan salah bagi kes ini.

Clinton sebelum memfailkan aduan terhadap Monica mengaku menulis kepada beliau meminta penjelasan caranya menguruskan kes berkenaan.

Monica bukan sahaja tidak membalas surat tersebut tetapi beliau melarikan diri, pulang negara asalnya Peru.

Sekiranya Clinton memenangi kes amalan salah itu, Peru tidak melaksanakan tuntutan penghakiman yang dikeluarkan mahkamah Amerika Syarikat.

Dalam wawancara dengan Tribune Chicago pada 2014, Monica mendakwa menangani 40 kes melibatkan kemalangan penerbangan.

Bagaimanapun, menurut Forbes pada Jumaat lepas, peguam penerbangan Justin Green berkata kebanyakan peguam terlibat bencana udara saling mengenali dan tiada di antara mereka pernah mendengar ada kes perundangan melibatkan Ribbeck.

Laporan akhir siasatan antarabangsa berhubung Tragedi MH370 yang masuk tiga tahun lebih akan dikeluarkan enam bulan lagi selepas pengumuman penggantungan operasi pencarian 17 Januari lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laporan akhir itu termasuk hasil siasatan Kawalan Trafik Udara (ATC) dan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Liow berkata kerajaan membelanjakan sekitar RM456 juta untuk operasi pencarian itu.

Malaysia, Australia dan China pada 22 Julai 2016 bersetuju usaha mencari MH370 yang dilaksanakan oleh ATSB di dasar laut dihentikan selepas pencarian awal meliputi kawasan seluas 120,000 km persegi tidak menemukan pesawat berkenaan.

Siasatan insiden MH370 dilaksanakan oleh Pasukan Penyiasat Bebas Antarabangsa yang ditubuhkan berdasarkan peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan dianggotai oleh wakil bertauliah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, China, Perancis, Singapura dan Indonesia.

Usaha pencarian tertumpu di Laut China Selatan, Laut Andaman dan selatan Lautan Hindi. – Sarawakvoice