Lima rumah musnah di Muara Tebas, 15 orang tinggal sehelai sepinggang

0
10

KUCHING: Aidilfitri bagi dua keluarga seramai 15 orang di Kampung Muara Tebas berakhir awal, apabila kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran besar di Kampung Muara Tebas semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, api memusnahkan sepenuhnya dua buah rumah milik dua keluarga terbabit, sambil menjilat di antara 10 ke 20 peratus tiga buah rumah lain.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.02 petang dan sebuah jentera, sebuah prime mover water tanker dan pacuan empat roda Toyota Hilux dengan kekuatan 13 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya.

“Pasukan ini dibantu oleh sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, selain tiga buah unit RIM daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuching.

Kata Ling Hii, tiba di lokasi dalam tempoh 13 minit, pasukan mengambil masa 17 minit untuk mengawal api dengan melakukan ‘fire break’ di semua lokasi terlibat.

“Pasukan telah membentangkan tiga aliran 300 kaki dan tiga nozel bersumberkan air daripada pili bomba berdekatan.

“Api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 5.14 petang,” katanya lagi.

Kebakaran kata Ling Hii lagi, melibatkan struktur bangunan tidak kekal dan anggaran keluasan untuk setiap rumah adalah sekitar 40 kaki x 50 kaki.

“Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat pasukan forensik kebakaran,” katanya lagi. – Sarawakvoice