Sunday, August 14, 2022

Rayuan kes Dun Pujut ke Mahkamah Rayuan sebelum 17 Julai — Hasidah

Secara Rawak

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak mempunyai tempoh sehingga 17 Julai depan untuk memfailkan rayuan kes penyingkiran Adun Pujut ke Mahkamah Rayuan, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurutnya, Pejabat Peguam Besar Negeri kini sedang dalam proses mengemas kini fakta kes, dan tidak mahu melakukan rayuan itu secara tergesa-gesa.

“Peguam Besar Negeri, Talat Mahmood Abdul Rashid akan mewakili Dun Sarawak dalam kes ini.

“Kita mempunyai masa yang cukup, dan tidak perlu untuk berebut-rebut,” katanya lagi ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Dewan Besar Cats FM di sini.

Kredit foto Pusat Khidmat Adun Samariang

Proses rayuan itu dilakukan setelah Mahkamah Tinggi Kuching pada 17 Jun lalu menolak keputusan Dun Sarawak menyingkirkan Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choon pada 12 Mei atas alasan tindakan itu berada di luar bidang kuasanya.

Tiong Choon sebelum itu disingkirkan melalui undian 70 menyokong setelah usul penyingkirannya dibawa oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh kerana memiliki dwikenegaraan.

Mengulas tentang perkembangaan pindaan Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 dan Ordinan Undang-undang Keluarga Islam 2001, Hasidah berkata, pihaknya masih dalam proses mengemas kini pindaan tersebut.

“Kita telah berjumpa dan berbincang dengan pihak Majlis Islam Sarawak, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah dan pelbagai agensi lain.

“Dengan input yang kita dapat, kita akan melihat perkara ini secara lebih terperinci,” katanya lagi.

Jelas Hasidah, rangka pindaan ini telah ada dan setiap peruntukan yang terdapat pada ordinan itu perlu dilihat secara lebih teliti.

“Kita menjangkakan proses naik taraf dan kemas kini ordinan ini akan dapat disiapkan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini, dan akan dapat dibentangkan dalam sidang DUN pada tahun hadapan,” jelasnya.

Dengan siapnya pindaan ini kelak tambahnya lagi, kebajikan masyarakat Islam di negeri ini dijangka dapat diperkasakan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru