Thursday, June 30, 2022

Mati dibalas mati, buaya ganas tumbang pada sebatang pancing di Sungai Tapang, Marudi

Secara Rawak

MARUDI: Seekor buaya ganas ‘kecundang’ setelah lebih empat bulan diintai penduduk di sebuah kampung di sini semalam.

Lebih menarik, buaya berukuran lima meter itu tumpas setelah memakan umpan atau alir yang dipasang pada sebatang pancing di Sungai Tapang, di Kampung Peking sekitar jam 9 pagi.

Ketua masyarakat kampung berkenaan, Jampang Kantan memberitahu, kejayaan itu amat penting bagi menamatkan kerisauan dan kegusaran penduduk, setelah buaya tersebut menyerang dan membaham seorang remaja berusia 17 tahun awal tahun ini.

“Berdasarkan saiznya, kami yakin bahawa buaya inilah yang menjadi dalang di sebalik kematian Agnes Luang pada Februari lalu.

“Malah sejak serangan tersebut, penduduk kampung menjadi takut untuk keluar mandi di sungai seperti kebiasaan.

Reptilia tersebut katanya, bukanlah yang pertama berjaya ditumpaskan melalui mata pancing oleh penduduk kampung kebelakangan ini.

“Ada beberapa yang lain, tetapi inilah yang terbesar dan diyakini telah menyerang mendiang,” tambahnya lagi.

Jelas Jampang, dengan kejayaan ini, pihaknya yakin dendam terhadap buaya berkenaan telah terbalas.

“Mati dibalas mati!” katanya, sambil membawa bangkai buaya tersebut ke darat. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru