Tuesday, December 6, 2022

Lelaki maut dihempap pacuan empat roda sendiri di Lundu

Secara Rawak

LUNDU: Dihempap kenderaan yang dipandunya sendiri.

Mungkin kendengaran agak pelik, tetapi itulah nasib yang menimpa seorang lelaki pagi tadi, selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbalik, menyebabkan lelaki tersebut dihempap kenderaan tersebut dan tersepit di bahagian duduk pemandu.

Lebih menyedihkan, lelaki tersebut menghembus nafas terakhirnya di dalam kenderaan tersebut, ekoran luka parah yang dialami di bahagian kepala.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika mengesahkan kejadian memberitahu, nahas malang itu berlaku di Jalan Sampadi dekat sini, berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal kenderaan Toyota Hiluxnya yang membawa muatan biji sawit.

“Pihak kita telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.17 pagi dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu.

“Tiba di lokasi 35 minit kemudian, pasukan mendapati kemalangan tersebut
mengakibatkan mangsa tersepit di bahagian duduk pemandu.

” Pasukan kemudian bertindak membuka pintu kenderaan dan dengan menggunakan peralatan menyelamat “Air Lifting Bag”, kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit berjaya dilakukan.

Mangsa kata Ling Hii, telah disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik daripada Klinik Kesihatan Lundu, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Kadum Geraik, 59 tahun. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru