Sunday, September 25, 2022

Juruterbang Air Asia X bertindak profesional tangani krisis enjin pesawat bergegar Ahad lalu – Tony Fernandes

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan para juruterbangnya dituntut untuk bertindak secara profesional setiap kali berhadapan sesuatu krisis.

“Harus diingat bahawa Air Asia bukanlah syarikat yang membuat enjin pesawat dan semua syarikat penerbangan berhadapan isu kegagalan enjin.

“Dan apabila keadaan ini berlaku, kita memerlukan juruterbang yang bersikap profesional dan mempunyai kepimpinan yang hebat dalam menangani penumpang semasa krisis,” tulisnya dalam muat naik status facebooknya hari ini.

Beliau merujuk tindakan juruterbang pesawat AirAsia X D7237 dari Perth, Australia ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu, meminta penumpang berdoa akan keselamatan mereka bersama ketika pesawat tersebut berhadapan masalah teknikal.

Kerosakan teknikal dikesan setelah berlaku letupan kecil pada sayap kiri yang menyebabkan pesawat itu bergegar.

Juruterbang bagaimanapun berjaya mengemudi pesawat untuk mendarat dengan selamat pada jam 10 pagi Ahad.

Semua penumpang selamat dipindahkan ke penerbangan lain pada jam 11.40 malam pada hari yang sama.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam dan pihak berkuasa yang berkaitan telah diarah untuk menyiasat dan membuat penjelasan umum mengenai kejadian yang berlaku.

“Saya juga ingin memuji semua krew atas komitmen yang mereka berikan bagi mengekalkan keselamatan secara profesional selain mengawal penumpang dan memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Beliau juga yakin bahawa Air Asia akan terus meletakkan keselamatan para penumpang dan anak kapalnya sebagai perkara utama demi menjaga nama baik syarikat penerbangan itu yang mempunyai rekod keselamatan yang sangat baik.

Dalam perkembangan yang berkaitan, AirAsia X berkata, ia sedang menjalankan siasatan bersama-sama pengilang enjin Rolls-Royce untuk mengenal pasti punca insiden tersebut. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru