Terus bekerja tanpa mengira masa demi rakyat – Musa Aman

KOTA KINABALU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa bekerja tanpa mengira atau memilih waktu bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati pembangunan yang dirancang dan taraf hidup mereka meningkat.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya, BN sentiasa bekerja untuk rakyat termasuk di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh parti pembangkang.

Musa menjelaskan, tidak ada istilah cuti dalam kalangan pemimpin BN kerana tugas utama mereka ialah bekerja untuk rakyat. Ini untuk memastikan setiap permintaan rakyat dapat ditunaikan mengikut kesesuaian.

“Sebab itu kami (pemimpin) berada di sini dan esok, lusa serta tulat kami berada di mana-mana yang rakyat perlukan untuk mendengar, menganalisa dan mencari penyelesaian mengenai setiap masalah yang dihadapi rakyat,” katanya ketika berucap di Kampung Padas Sandakan baru-baru ini.

Ketua Menteri itu juga mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh hasutan memburukkan kerajaan yang dilakukan oleh pembangkang, apa yang beliau sifatkan berniat jahat hanya kerana untuk mencapai kepentingan politik mereka.

Beliau berkata, pembangkang meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada rakyat seperti menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan oleh pembangkang yang tidak memiliki sebarang keupayaan untuk melakukan.

“Janji kosaong dalam BN tidak pernah terjadi kerana kita mempunyai kekuatan ekonomi untuk menunaikan setiap permintaan yang wajar kepada rakyat,” katanya.