Wednesday, August 17, 2022

Pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo mula siap tahun hadapan — Fadillah

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf petang tadi mengesahkan, sekurang-kurangnya satu pakej projek Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap pada tahun hadapan.

Menurutnya, pakej tersebut melibatkan kawasan jajaran Simpang Nyabau-Bakun di Bintulu, yang merupakan projek pertama dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum ini.

Satu lagi projek yang melibatkan jajaran Telok Melano ke Sematan, dijangka siap pada awal 2019.

“Dengan prestasi purata keseluruhan sekitar 10 peratus, saya berpuas hati semua projek ini berjalan mengikut jadual, malah ada yang mendahului masa yang ditetapkan.

Katanya, biarpun ada projek yang terlewat dari jadual, ia bukan disebabkan oleh masalah kontraktor, tetapi lebih kepada kendala teknikal sama ada tanah, utiliti dan sebagainya

“Saya yakin sebaik sahaja isu ini diselesaikan, kontraktor terbabit akan dapat mengejar kembali kelewatan tersebut.

“Yang penting semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Menurut Fadillah, pada penghujung tahun ini, pihaknya akan mula melaksanakan fasa kedua projek, yang menghubungkan Limbang dan Lawas.

“Ia akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini dan diharap dapat dianugerahkan kepada rakan pelaksana.

“Ketika ini, kerja-kerja reka bentuk dan mesyuarat teknikal tertinggi telah dilaksanakan dan beberapa opsyen telah dibentangkan.

“Kita kini sedang menunggu keputusan akhir,” jelasnya.

Fadillah turut memberikan jaminan bahawa kos projek masih kekal pada siling RM16 bilion, namun ia tidak termasuk fasa kedua projek.

Mengenai projek tersebut yang dilaksanakan di Sabah, beliau menjelaskan lima pakej telah dianugerahkan kepada kontraktor terbabit.

“Kita berharap lima lagi tender dapat dikeluarkan pada penghujung Ogos depan.

“Memang berlaku sedikit kelewatan, namun kita yakin kelewatan itu dapat ditangani,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru