Lebuhraya Pan Borneo fasa 2 bermula hujung tahun

Kertas cadangan pembinaan jajaran Limbang-Lawas itu akan menawarkan beberapa pilihan sama ada melalui Brunei atau laluan alternatif lain.

KUCHING: Kerja pembinaan fasa ke-2 Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan jajaran Limbang-Lawas dijangka bermula hujung tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata kertas cadangan mengenai pembinaan tersebut yang menawarkan beberapa pilihan termasuk sama ada jajaran akan melalui Brunei atau laluan alternatif lain akan diserahkan kepada jawatankuasa teknikal tertinggi kerajaan.

“… kita harapkan akan ada keputusan pada Oktober nanti dan akhirnya kita akan serahkan kepada rakan kongsi penyerahan projek (PDP) untuk melantik kontraktor bagi melaksanakan pembinaan jajaran ke-2 dari Limbang ke Lawas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Mengenai fasa pertama lebuh raya, Fadillah berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan perjalanan projek yang kebanyakannya lebih awal daripada dijadualkan.

“… ada 1 atau 2 di belakang jadual disebabkan permasalahan dari segi tanah yang perlu diselesaikan tetapi secara keseluruhan projek berjaya dilaksanakan dalam tahap memuaskan,” katanya.

Mengulas isu lain, beliau gembira kerana amalan rumah terbuka kekal mendapat sambutan rakyat pelbagai kaum di Sarawak.

Katanya ini melambangkan Sarawak kekal sebagai negeri yang bersatu padu dari segi pergaulan masyarakat dan keadaan itu perlu dikekalkan dan diperkukuhkan.

“Ini keunikan dan kekuatan Sarawak yang harus kita kekalkan supaya perpaduan yang kukuh ini dapat gerakkan negeri dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih lestari dan bersatu padu dan akhirnya membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada negeri dan negara,” katanya. Bernama