ISTANBUL: Wanita dan lelaki menunaikan solat secara bersama-sama, selain wanita boleh menjadi imam kepada makmum lelaki!

Isu ini menjadi inti kepada bantahan masyarakat Islam antarabangsa ke atas pembukaan masjid liberal di Berlin, Jerman.

Diyanet, agensi hal ehwal Islam berpengaruh yang menyelia aktiviti agama di Turki dan Jerman mengecam pembukaan masjid liberal berkenaan yang dianggap bertentangan dengan syariat Islam.

Diyanet agensi menguruskan sekitar 900 masjid selain beberapa komuniti agama di Jerman, melihat pembukaan masjid sedemikian selaras dengan cita-cita pengikut Fethullah Gulen, pemimpin pembangkang Turki.

Gulen bersembunyi di Amerika Syarikat, dikehendaki Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selepas didakwa menjadi dalang rampasan kuasa secara kudeta 15 Julai 2016.

Menurut AFP, Diyanet menentang keras fahaman kumpulan masjid berkenaan yang mendakwa konsep seperti membolehkan umat Islam fahaman liberal menyembah Tuhan secara bebas.

Menurut Diyanet, amalan masjid berkenaan sebaliknya terang-terangan bertentangan dengan ruh ajaran Islam dari segi ilmu dan tatacara, sejak Nabi Muhammad SAW diutuskan membawa syariat Islam.

Diyanet mengecam pengikut Gulen dan kumpulan ajaran sesat lain kerana memesongkan ajaran Islam yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu di Eropah. – Sarawakvoice