Sempadan Malaysia terkawal, aktiviti teroris Daesh dan perkembangan negara jiran dipantau — Zaki

0
5

LUNDU: Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar malam tadi memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di perbatasan negara sentiasa terkawal sepanjang sambutan Aidilfitri ini.

Menurutnya, biarpun banyak negara di dunia diancam gerakan terorisme, namun ketika ini ancaman terhadap Malaysia terkawal.

“Kita sentiasa mengkuti rapat ancaman terorisme khususnya Daesh dan IS di luar negara.

“Pada masa yang sama, kita ikuti secara rapat perkembangan operasi yang dilancarkan oleh tentera Filipina terhadap anggota militan di Selatan Filipina, terutama Marawi,” katanya ketika ditemui pada sambutan Aidilfitri di Kem JPG Biawak, dekat sini semalam.

Selain berbuka puasa pada akhir Ramadan Datuk Mohd Zaki dan pegawai kanan Medan Timur turut bertakbir pada malam Aidilfitri di kem berkenaan.

Keesokannya, beliau bersama-sama 50 anggota yang mengawal sempadan bersama-sama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD), bersolat Aidilfitri sebelum menyerahkan bingkisan Aidilfitri.

Acara tradisi ini diteruskan dengan rombongan Pemerintahan Medan Timur menyeberang sempadan untuk menziarahi warga Tentera Darat di pos Sanjingan sebelum balik ke Kuching.

Datuk Mohd Zaki yang mengetuai ketumbukan tentera di Sarawak sejak 2011 memberitahu, pihaknya sentiasa mengawasi sebarang potensi ancaman dari luar ini.

“Biar insiden pengeboman dan serangan ini berlaku di tempat lain, kita tidak boleh leka, tidak boleh alpa.

“Justeru kita mengukuh pertahanan sempadan negara dengan kerjasama TNI-AD selain dedikasi rakan seperti Polis Diraja Malaysia selain pelbagai agensi lain.

Penugasan operasi tegasnya, akan berlaku sepanjang masa dan didoakan perbatasan kita setiasa bebas dari segala bentuk ancaman.

Pada majlis itu juga, Datuk Mohd Zaki turut merakamkan tahniah kepada semua anggota Pos JPG Biawak atas kejayaan mematahkan beberapa cubaan penyeludupan sepanjang operasi dan berharap dapat mengekalkan prestasi yang baik ini.

Turut hadir  Ketua Staf Am Markas Medan Timur Tentera Darat, Brigadier Jeneral Datuk Subari Tomo, dan Pegawai Perhubungan Indonesia Leftenan Kolonel Dody Dharmawan. – Sarawakvoice